Beri semua guru kuasa merotan

LocalPolitics
23 Nov 2026 • 8:28 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Beri semua guru kuasa merotan

PETALING JAYA: Kuasa me­ngenakan hukuman rotan kepada murid perlu diperluaskan kepada semua guru dan tidak lagi terhad kepada guru disiplin atau guru besar.

Langkah itu bagi mengembalikan kewibawaan pendidik dalam menangani masalah sa­lah laku serta membentuk sahsiah pelajar.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan tanggungjawab mendidik dan membentuk disiplin murid tidak hanya dipikul oleh guru tertentu sebaliknya menjadi tanggungjawab seluruh warga pendidik.

“Saya percaya kuasa merotan perlu dikembalikan kepada semua guru, bukan hanya terhad kepada guru besar dan guru disiplin. Ia juga perlu seimbang dikenakan terhadap pelajar lelaki dan perempuan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan kuasa guru disiplin di sekolah perlu dikembalikan bagi membolehkan isu salah laku pelajar ditangani de­ngan lebih berkesan sekali gus mengelakkannya daripada berlarutan menjadi kesalahan lebih serius.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Nor Hisam Nordin dilaporkan berkata, tugas mendisiplinkan pelajar kini semakin mencabar berikutan keterbatasan kuasa guru disiplin termasuk dalam pelaksa­naan hukuman rotan.

Bagaimanapun, menurut Mohamad Ali, pelaksanaan hukuman rotan perlu tertakluk kepada garis panduan yang jelas bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa selain memastikan tindakan disiplin tidak bercanggah dengan aspek kemanusiaan dan kebajikan murid.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu memperincikan prosedur pe­laksanaan hukuman rotan termasuk menjelaskan batasan terhadap murid perempuan supaya tidak timbul kekeliruan atau salah tafsir dalam kalangan guru, ibu bapa dan masyarakat.

“Perkara ini perlu dijelaskan dengan baik supaya semua pihak memahami mengapa terdapat batasan tertentu dalam pelaksanaan hukuman rotan.

“Kita perlu mengambil kira aspek kemanusiaan, menjaga hak wanita serta memastikan keseimbangan antara tindakan disiplin dengan maruah dan kebajikan murid.

“Guru juga perlu diberikan kefahaman mengenai garis panduan itu, bukan sekadar dimaklumkan mengenai per­kara yang boleh dan tidak boleh dilakukan,” katanya lagi.-UTUSAN.

The post Beri semua guru kuasa merotan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved