Penyelesaian isu MB Negeri Sembilan diserahkan kepada Tuanku Muhriz

LocalPolitics
23 Nov 2026 • 6:40 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Penyelesaian isu MB  Negeri Sembilan diserahkan kepada Tuanku Muhriz

KUALA LUMPUR: Semua urusan membabitkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim diserahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk menoktahkan kemelut yang berlaku.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Barisan Nasional (BN) menghormati kuasa Tuanku Muhriz dalam menentukan pelantikan berkenaan.

Beliau berkata, BN tidak akan melanggar mana-mana peruntukan yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 dan mencampuri urusan adat berkaitan Dewan Keadilan dan Undang (DKU).

“Kita serahkan kuasa pelantikan ini kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang di-Pertuan Besar dan kita tidak akan pernah melanggar sebarang perkara yang termaktub dalam perlembagaan negeri.

“Pada hemat saya, kepentingan rakyat harus diberikan keutamaan dan jika terus berlaku permasalahan adat DKU, itu bukan sesuatu yang harus dicampuri oleh BN dan UMNO.

“Kita serahkan perkara itu untuk diselesaikan oleh pihak-pihak yang berkenaan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Agung Keempat Perwakilan MCA Ke-30 di Wisma MCA, Jalan Ampang di sini semalam.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, seramai 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dan Perikatan Nasional (PN) akan mengutus warkah kepada Tuanku Muhriz untuk memaklumkan bahawa Ismail tidak mendapat sokongan majoriti wakil rakyat sebagai Menteri Besar.

Warkah berkenaan menjadi perkembangan terbaharu kemelut politik negeri itu yang menyaksikan Majlis Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baharu yang dijadualkan berlangsung semalam tidak diteruskan.

Ini susulan kenyataan Istana Negeri Sembilan bahawa Ismail mesti membuktikan sokongan majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menentukan kedudukannya selaras dengan konvensyen dan peruntukan UUTKNS 1959.

Seorang ADUN kerajaan memberitahu, usul tidak percaya ber­kenaan dicapai selepas semua pihak akur dengan pendirian pucuk pimpinan yang meminta Ismail melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar.

Katanya, kesemua 24 ADUN bakal mengutuskan warkah ke­pada Tuanku Muhriz dalam masa terdekat.

Ahmad Zahid berkata, penyelesaian terhadap kemelut berkenaan perlu dicapai bagi memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan berjalan lancar, khususnya menjelang Sidang DUN bagi pembentangan Belanjawan 2027.

Katanya, BN akan memohon perkenan Tuanku Muhriz supaya Sidang DUN dapat berlangsung, selain berharap solidariti yang ditunjukkan 24 ADUN mampu membantu mencari penyelesaian tuntas terhadap kemelut itu.

“Bagi 24 ADUN yang telah bertemu dan membuat pernyataan sebagaimana dikeluarkan Datuk Seri Mohamad Hasan, kita akan mencari jalan penyelesaian yang baik mengenai bagaimana pentadbiran akan disusun atur setelah mendapat perkenan Tuanku,” katanya. – UTUSAN

The post Penyelesaian isu MB Negeri Sembilan diserahkan kepada Tuanku Muhriz appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved