Beri tempoh 24 jam! Timb. Menteri Agama sangkal tuduhan sebar dukun, azimat & ‘New Age’

LocalPolitics
18 Sep 2026 • 12:12 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli memberi tempoh 24 jam kepada pihak yang menerbitkan atau menyebarkan dakwaan mengaitkan beliau dengan amalan perdukunan, sihir, azimat serta ajaran ‘New Age’.

Nafi segala tohmahan

Menerusi satu kenyataan, Marhamah menafikan segala tohmahan tersebut selain menuntut pihak terbabit menarik balik penerbitan, menghentikan penyebaran serta membuat permohonan maaf dan pembetulan secara terbuka dalam tempoh berkenaan.

Menurut kenyataan itu, tangkap layar hantaran Marhamah bertarikh 20 September 2019 yang kini disebarkan dibuat khusus dalam konteks pembangunan insan.

“Ia bukan sokongan atau pengiktirafan terhadap keseluruhan pegangan, ajaran atau amalan individu berkenaan,” katanya pada Khamis.
Menurut kenyataan itu lagi, Marhamah tidak pernah berguru, menghadiri kelas, bertemu atau berhubung secara langsung dengan individu berkenaan.
“Beliau juga tidak pernah mengiktiraf individu tersebut sebagai guru atau mengajar, mempromosi mahupun menyebarkan amalan perdukunan, sihir, azimat atau ajaran ‘New Age’,” katanya.

Image from: Beri tempoh 24 jam! Timb. Menteri Agama sangkal tuduhan sebar dukun, azimat & ‘New Age’

Pejabat Timbalan Menteri itu turut memandang serius tindakan mencantumkan tangkap layar hantaran lama berkenaan dengan video-video lain yang tidak diketahui kewujudannya oleh Marhamah.

Menurutnya, tindakan tersebut mewujudkan gambaran seolah-olah kandungan berkenaan merupakan sebahagian daripada rujukan atau amalan beliau sedangkan ia tidak benar.

Dalam pada itu, pejabat berkenaan menegaskan prinsip Al-bayyinatu ‘ala al-mudda‘i yang bermaksud “Bukti adalah atas pihak yang mendakwa”.

Sehubungan itu, katanya mana-mana pihak yang membuat dakwaan berkenaan hendaklah mengemukakan bukti berdasarkan perkataan atau perbuatan Marhamah sendiri, bukan melalui cantuman kandungan pihak lain dengan satu tangkap layar lama.

“Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan perkara ini dirujuk untuk tindakan undang-undang yang sewajarnya, tertakluk kepada nasihat undang-undang,” katanya.

Image from: Beri tempoh 24 jam! Timb. Menteri Agama sangkal tuduhan sebar dukun, azimat & ‘New Age’

Pejabat berkenaan turut memaklumkan pihaknya sedang mendokumentasikan hantaran, ulasan, komen serta penyebaran berkaitan dan merizabkan segala hak Marhamah di sisi undang-undang.

Semua pihak diseru supaya bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat dan tidak membina kesimpulan berdasarkan bahan yang dipetik di luar konteks.

Sumber: Facebook Marhamah Rosli

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved