Berilah ruang kepada kerajaan laksana, pinda AUKU - Anwar

LocalPolitics
26 Aug 2026 • 11:21 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Berilah ruang kepada kerajaan laksana, pinda AUKU - Anwar
Anwar selepas selesai menghadiri Forum Ilmuwan Malaysia Madani Siri 13 yang bertemakan Pendidikan Masa Depan Negara dan AUKU di Dewan Tunku Canselor (DTC), Universiti Malaya pada Rabu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap seluruh warga mahasiswa dan pihak berkepentingan, dapat memberi kepercayaan kepada langkah-langkah penambahbaikan komprehensif yang sedang direncanakan kerajaan, pada masa ini.

Beliau berkata, semua pihak perlu memberikan ruang kepada kerajaan untuk melaksanakan pindaan atau memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) secara menyeluruh, bagi kebebasan mahasiswa.

Anwar berkata, beliau secara peribadi konsisten menentang akta berkenaan sejak dahulu lagi dan menegaskan komitmen kerajaan ketika ini, adalah untuk membawa perubahan yang komprehensif demi kebaikan mahasiswa serta institusi pengajian tinggi.

"Berilah ruang, saya dah lama lawan akta ini (AUKU). Sekarang nak pinda menyeluruh, jadi berilah ruang sedikit," kata beliau ketika menjawab soalan seorang peserta pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 13, Pendidikan Masa Depan Negara dan AUKU di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, di sini malam ini.

Peserta berkenaan ingin tahu apakah jaminan kerajaan bahawa akta baharu yang akan menggantikan AUKU , tidak akan menjadi AUKU dalam bentuk baharu.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek dan Presiden Akademi Sains Malaysia, Tengku Datuk Mohd Azzman Shariffadeen.

Anwar berkata, usaha meminda atau memansuhkan akta tersebut, memerlukan proses serta penelitian yang menyeluruh selepas perbincangan dibuat peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Jemaah Menteri.

Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa kerajaan komited untuk menyediakan ruang politik dan saluran kebebasan bersuara yang lebih luas kepada mahasiswa, berteraskan tatakelola dan undang-undang yang teratur.

Sementara itu, Anwar meminta Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) memberikan beliau sedikit masa untuk mengadakan sesi pertemuan khas, bagi membincangkan perkara yang dibangkitkan perwakilan mahasiswa berhubung isu keabsahan akta serta kebajikan pelajar.

"Beri (saya) masa sikit. Saya fokus kepada Bajet... pada Hari Kemerdekaan, kemudian Hari Malaysia...ia akan menjadi amat mencabar, tetapi insya-ALLAH, saya akan lakukannya," kata Perdana Menteri.

Terdahulu, perwakilan MPPK mengemukakan dua perkara kepada Perdana Menteri iaitu memohon agar MPPK yang merangkumi 35 ahli wakil pemimpin mahasiswa daripada IPTA, Politeknik, dan Kolej Komuniti, dilibatkan secara rasmi dalam jawatankuasa penggubalan atau pindaan akta.

Perkara kedua pula ialah diadakan penganjuran mesyuarat perdana khas bersama Perdana Menteri, bagi menyuarakan isu-isu teras mahasiswa secara terus. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved