
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Umum mengetahui menghafaz al-Quran bukanlah suatu perkara yang mudah.
Bahkan seseorang yang mahu menghafaz al-Quran mengambil masa yang lama bukan sahaja untuk menghafal setiap ayat tetapi membaca dengan tajwid yang betul.
Selain itu, ia juga memerlukan daya ingatan yang kuat dan dilatih pada setiap hari agar dapat menghafal dengan mudah.
Pelajar tahfiz terima pengiktirafan tertinggi penghafal al-Quran selama 18 jam tanpa salah
Baru-baru ini seorang pelajar tahfiz yang dikenali sebagai Haryz Irfan Wan Azrizul Azad, 18, telah menerima pengiktirafan tertinggi penghafal al-Quran, Syahadah Ula pada 18 Disember yang lalu.
Haryz berjaya mendapat pengiktirafan tersebut selepas berjaya memperdengarkan hafazan 30 juzuk al-Quran selama 18 jam tanpa mempunyai sebarang kesalahan.
Dia yang merupakan pelajar di Maahad Tahfiz Al-Fateh di Batang Kali, Selangor mahu ibu bapa yang disayangi mendapat ganjaran syurga hasil keberkatan al-Quran dan perkara itu membuatkannya nekad meninggalkan sekolah swasta lalu memilih laluan pendidikan tahfiz.

Ambil keputusan masuk maahad waktu tingkatan dua, nak ibu ayah beroleh ganjaran syurga
Anak kelahiran Shah Alam ini memaklumkan dia membuat keputusan untuk memasuki maahad berkenaan sewaktu di tingkatan dua selepas setahun mengikuti persekolahan di sebuah sekolah swasta yang beraliran agama.
“Sebelum masuk maahad, saya sekolah swasta agama di Shah Alam.
“Dari sekolah rendah lagi memang ada asas agama dan hafal al-Quran sedikit demi sedikit.
“Bila fikir tentang tahfiz, niat utama saya ialah nak jadikan al-Quran sebagai asbab mak dan ayah masuk syurga. Itulah yang kuatkan semangat saya,” ujarnya, lapor Harian Metro.
Menurut Haryz yang merupakan anak ketiga dari lapan adik-beradik, keluarganya amat menitikberatkan pendidikan al-Quran.
Bahkan turut berkongsi, kakak sulung serta seorang lagi adik juga adalah penghafal al-quran namun berada di maahad yang berbeza.

Kekal disiplin dan konsitensi hafazan adalah cabaran besar untuk hafal al-Quran
Bukan hanya itu dia juga turut menceritakan cabaran terbesar yang dihadapi untuk menghafal al-Quran seperti mengekalkan disiplin serta konsistensi disebabkan hafazan mudah hilang jika tidak diulang pada setiap hari.
“Sepanjang lima tahun di maahad, memang tidak ada satu hari pun berlalu tanpa hafazan. Kalau tinggal sehari, esoknya jadi susah nak ulang balik.”
Menceritakan mengenai rutin hariannya, kata pelajar tersebut jadual hariannya dipenuhi dengan hafazan sejak dari pagi hingga petang.
“Kelas tasmik hafazan bermula jam 8 pagi hingga 3.30 petang. Bagi pelajar tingkatan atas, hafazan hingga jam 1 tengah hari sebelum kelas akademik. Setiap ayat perlu diulang sekurang-kurangnya 60 kali.
“Petang ada aktiviti asrama dan malam pula sesi ulang kaji. Ustaz akan dengar bacaan pada siang hari dan warden akan semak serta tandatangan buku rekod pada waktu malam,” ujarnya lagi.

Pelbagai ujian turut dilalui sebelum menduduki Syahadah Ula
Katanya dia perlu melalui beberapa ujian sebelum menduduki Syahadah Ula seperti sebanyak enam tahap ujian secara berperingkat termasuk bacaan tiga juzuk sehari, dan ia kemudian meningkat kepada lima juzuk dan seterusnya ujian menghabiskan al-Quran dalam tempoh yang pendek.
“Syahadah Ula ialah ujian tahap ketujuh. Saya mula membaca jam 4.30 pagi dan selesai sekitar jam 10.20 malam.
“Perasaan ketika itu memang sukar digambarkan, penat ada, tapi lebih kepada rasa tak percaya dan syukur.”
Dalam pada itu, Maahad Tahfiz Al-Fateh turut berkongsi kisah Haryz juga turut berjaya mendapatkan keputusan penuh Jayyid Jiddan dengan markah yang cemerlang iaiatu 93.28%. Perkara itu dikongsikan maahad tersebut menerusi akaun TikToknya.

Beri fokus kepada SPM pula dan ada perancangan teruskan pengajian Islam dalam bidang lain
Turut difahamkan anak muda itu merupakan pelajar yang ke-12 pernah melepasi ujian tertinggi di maahad tersebut.
Buat masa ini, Haryz meneruskan pengajian di maahad itu serta memberikan tumpuan pula pada akademik serta membuat persediaan untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Selain itu, dia juga mempunyai perancangan untuk meneruskan pengajian Islam dalam bidang lain sebaik selesai mengambil SPM.
“Selepas SPM nanti, saya mungkin sambung pengajian Islam atau bidang lain. Apapun saya bersyukur keluarga sentiasa menyokong perjalanan ilmu saya pilih.
“Saya berharap pencapaian ini menjadi pembakar semangat kepada remaja lain untuk mendekatkan diri dengan al-Quran dan tidak mudah berputus asa dalam menempuh laluan sebagai hafiz.”
@dunia_alfateh Majlis Khatam Hafazan 30 Juzuk Quran
♬ bunyi asal – Maahad Tahfiz Al Fateh – Maahad Tahfiz Al Fateh


