Berjaya Kutip RM10 Juta Dalam 6 Hari Tayangan, 'Mechamato Movie' Tonjol Banyak Budaya Unik Malaysia 

LocalMovie
14 Dec 2022 • 2:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar Astro Shaw 

Filem animasi, Mechamato yang ketika ini masih rancak ditayangkan di pawagam telah berjaya mengutip sebanyak RM10 juta dalam tempoh 6 hari pertama tayangannya seluruh negara. 

Mechamato Movie terbitan bersama MONSTA dan Astro Shaw mula ditayangkan serentak sejak 8 Disember lalu di pawagam seluruh negara dan Brunei.

Jenama Mechamato sebelum ini telah menunjukkan taringnya apabila siri animasi tersebut berjaya memukau penonton di Jepun, dan menjadi satu-satunya siri animasi luar yang tersenarai dalam kedudukan TOP 3 Tokyo Anime Award Festival 2023.

image is not available
Kota Hilir diilhamkan dari Banda Hilir di Melaka. - Gambar Astro Shaw

Mechamato Movie berlatarkan sebuah bandar fiksyen yang diinspirasikan dari Banda Hilir di Melaka. Ia juga menampilkan keunikan budaya Malaysia seperti silat, budaya peranakan dan makanan tempatan yang digabungkan dengan elemen futuristik seperti robot dan kapal angkasa.

Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, Nizam Abd Razak yang merupakan penulis dan juga pengarah filem ini berkata, ia adalah cita-cita MONSTA untuk memperkasakan budaya Malaysia menerusi Mechamato Movie

“Latar tempat utama filem ini dinamakan Kota Hilir — yang diinspirasikan dari seni bina Bandar Hilir dan Kota Melaka. 

“MONSTA turut menampilkan elemen-elemen tradisional seperti destar, keris, beca dan makanan tradisi seperti karipap. MONSTA berharap penonton lokal dan di peringkat global dapat mengenali keunikan Malaysia menerusi Mechamato Movie.”

"Alhamdullilah, berkat sokongan rakyat Malaysia, filem ini telah berjaya mengutip RM10 juta dalam masa 6 hari pertama tayangannya di pawagam seluruh negara. Ada kira-kira 150 buah pawagamyang menayangkan filem ini" katanya. 

image is not available
Gambar Astro Shaw

Jelas Nizam lagi, filem animasi 3D tempatan ini akan segera di eksport ke luar negara pada tahun 2023. 

“Perancangan ini dibuat apabila kami melihat siri Mechamato telah mencapai kejayaan yang luar biasa selepas menembusi 65 buah negara di seluruh dunia sejak dilancarkan pada Disember 2021 yang lalu.”

“Seperti filem-filem sebelum ini, MONSTA sentiasa menerapkan nilai-nilai murni dalam setiap karya yang diterbitkan. 

Mechamato Movie jelas mempamerkan nilai-nilai murni seperti percaya kepada kebolehan diri, berani mencuba dan berusaha tanpa mudah berputus asa,” katanya. 

Filem ini mengisahkan Amato iaitu bapa kepada BoBoiBoy, secara tidak sengaja bertemu MechaBot sebuah ‘Power Sphera’ yang berkebolehan untuk ‘Mechanize’ dengan objek lain. 

Keadaan menjadi lebih genting, apabila Mechamato bakal berhadapan dengan alien jahat bernama Grakakus, yang ingin merampas MechaBot dari tangan Amato. 

image is not available
Gambar Astro Shaw

Apakah muslihat yang dirancang oleh Grakakus? Mampukah adiwira baharu Mechamato menghalang ancaman Grakakus? 

Tayangan akan diteruskan lagi sepanjang cuti sekolah ini dan bagi mereka yang bernasib baik, Mechamato akan muncul di pawagam terpilih sepanjang kempen promosi filem ini di seluruh negara. 

Nantikan kemunculan Mechamato di lokasi-lokasi berikut termasuk Pahang, Terengganu dan Sabah pada hujung minggu ini! - Getaran, 14 Disember 2022