Berkat hafiz al-Quran, 221 pelajar MRSM skor semua A dalam SPM

LocalFamily & Parenting
20 Apr 2026 • 4:22 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Berkat hafiz al-Quran, 221 pelajar MRSM skor semua A dalam SPM
Ahmad Zahid (empat dari kiri) menyerahkan cek cura bernilai RM650,000 bagi membantu membaik pulih infrastruktur di MRSM Tun Ghafar Baba.

​DUNGUN – Keberkesanan Program Ulul Albab di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) terus membuahkan hasil luar biasa apabila seramai 221 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang juga huffaz al-Quran, berjaya mencatatkan keputusan semua A dalam peperiksaan tersebut.

​Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kejayaan pelajar yang telah khatam 30 juzuk itu membuktikan bahawa penguasaan ilmu ukhrawi bukan penghalang, malah menjadi pemangkin kepada kecemerlangan akademik.

​Menurut beliau, pencapaian itu selari dengan matlamat MARA untuk melahirkan generasi teknokrat yang seimbang dari segi sahsiah dan intelek di kesemua 58 MRSM seluruh negara.

​"Berkat mendampingi al-Quran terbukti apabila pelajar kita cemerlang dalam akademik. Kita mahu seboleh-bolehnya semua pelajar MRSM mampu mengkhatamkan 30 juzuk al-Quran melalui pengukuhan program ini.

​"Sebanyak lima buah MRSM tersenarai sebagai lima sekolah terbaik negara dalam SPM 2025, malah lebih separuh daripada kelompok 'Top 20' sekolah terbaik didominasi oleh MRSM," katanya.

​Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian MRSM Dungun yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini pada Isnin.

​Dalam pada itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya turut memuji kualiti pendidikan MARA yang menyaksikan MRSM Tun Ghafar Baba muncul sebagai sekolah nombor satu di Malaysia.

​"Keputusan SPM lalu mencerminkan kerja keras kita semua. Selain MRSM Tun Ghafar Baba yang mencatatkan peningkatan pelajar semua A+ seramai 85 orang, MRSM Ulul Albab yang masih baharu seperti di ATM Bera dan Bagan Datuk juga sudah menempatkan diri dalam kelompok 15 terbaik negara.

​"Sasaran kita jelas, MARA komited memperkasakan program Ulul Albab di seluruh MRSM agar pelajar bukan sahaja pakar dalam bidang sains dan teknologi, malah teguh jati dirinya dengan al-Quran," ujar beliau.

​Katanya lagi, bagi pelajar Tingkatan Empat dan Lima yang memulakan pengajian di bawah modul baharu Ulul Albab sejak tahun lalu, mereka disasarkan untuk sekurang-kurangnya menghafaz surah-surah tertentu serta juzuk ke-30 sebelum menamatkan pengajian.

​Sebagai penghargaan, Ahmad Zahid turut mengumumkan insentif berjumlah RM100,000 kepada MRSM yang berada dalam kedudukan lima terbaik, selain kelulusan peruntukan RM650,000 bagi baik pulih infrastruktur di MRSM Tun Ghafar Baba.