DUNGUN – Kerajaan Perpaduan menyangkal dakwaan kononnya mereka takut untuk berdepan pilihan raya disebabkan faktor bimbang ditolak rakyat atau berdepan kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada proses itu bukanlah ditentukan oleh desakan mana-mana pihak, sebaliknya merupakan hak mutlak pemerintah negeri.
Menurutnya, sebarang keputusan mengenai perkara itu terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa Yang di-Pertua Negeri Melaka, Pemangku Sultan Johor serta perkenan Yang di-Pertuan Agong.
"Waktu untuk tarikh terakhir PRN Melaka dan Johor masih lama lagi. Tidak timbul soal penangguhan dilakukan.
"Ini terserah pada TYT (Tuan Yang Terutama) dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Sultan Johor serta Tuanku Agong sendiri kerana hak pembubaran itu terletak kepada mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas cadangan pihak tertentu agar darurat diisytiharkan bagi menangguhkan PRN selepas menyempurnakan majlis perasmian Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Dungun di sini, pada Isnin.
**media[3496786]**
Mengulas lanjut mengenai desakan penangguhan tersebut, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menyelar tindakan pihak yang cuba menyamakan pentadbiran sekarang dengan kerajaan terdahulu.
Beliau mendakwa, sebelum ini wujud situasi di mana Parlimen digantung dan darurat diisytiharkan atas faktor kebimbangan politik pihak tertentu.
"Jadi janganlah apa yang dia buat, dia fikir orang lain akan buat macam dia juga. Dia takut dengan keadaan-keadaan yang tertentu pada ketika itu.
"Tetapi insyaALLAH kerajaan sekarang ini tidak pun langsung pernah timbul soal berhasrat untuk tangguhkan pilihan raya negeri," tegas beliau.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai kesediaan jentera, beliau memaklumkan pihak kerajaan sentiasa bersiap siaga namun tetap melakukan analisis semasa termasuk mengambil kira kesan geopolitik di Asia Barat.
Sebelum ini, Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong mencadangkan penangguhan PRN atas alasan mahu mengurangkan beban rakyat yang berdepan kenaikan kos sara hidup, namun cadangan itu ditolak keras oleh pemimpin daripada blok kerajaan mahupun pembangkang.
Selain itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut menolak cadangan untuk menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, dengan menyifatkannya sebagai langkah 'penakut' yang tidak berasas memandangkan negara tidak berdepan krisis kesihatan seperti era Covid-19.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, saranan oleh wakil rakyat DAP supaya darurat diisytiharkan bagi menangguhkan pilihan raya tidak mempunyai justifikasi kukuh, malah dipercayai didorong kebimbangan politik.





