
TEMPOH berpantang hari ini semakin dilihat sebagai fasa pemulihan yang perlu diberi perhatian rapi, bukan sekadar ikut cara lama.
Dalam rutin harian yang makin sibuk, ramai ibu memilih pendekatan lebih teratur supaya proses berpantang jadi lebih tenang dan tidak membebankan.
Seiring perubahan itu, industri penjagaan ibu berpantang di Malaysia turut berkembang.
Pelbagai perkhidmatan mula ditawarkan, namun pendekatan yang menggabungkan elemen tradisional dengan sentuhan profesional menjadi pilihan ramai.
Bermula dengan pengalaman melihat sendiri keperluan ibu selepas bersalin yang sering dipandang ringan, Siti Nornadiah Md Razi mengambil langkah berani membina NR Mothercare Confinement sekitar tahun 2019.
Ketika itu, fokusnya hanya satu, mahu memastikan ibu berpantang mendapat penjagaan yang lebih teratur, bukan sekadar bergantung kepada bantuan seadanya.
Daripada operasi kecil dengan kira-kira 25 penjaga pantang, siapa sangka perkhidmatan yang dibina perlahan-lahan itu kini berkembang kepada lebih 400 tenaga kerja di seluruh Malaysia.
Bagi Nornadiah, perjalanan tersebut bukan tentang cepat atau besar, tetapi bagaimana mengekalkan kualiti dalam setiap servis yang diberikan.
NR Mothercare menawarkan khidmat penjagaan ibu berpantang di rumah, sesuatu yang semakin menjadi pilihan ibu moden.
Penjaga pantang atau confinement lady (CL) akan membantu mengurus bayi, menyediakan makanan berpantang dan memastikan ibu mendapat rehat secukupnya sepanjang tempoh pemulihan.
“Misi kami ialah untuk membantu ibu-ibu berpantang dengan lebih tenang dan berkualiti. "Dalam masa sama, kami juga mahu buka peluang kepada wanita, termasuk ibu tunggal untuk menjana pendapatan bersama NR Mothercare.
“Namun, kami sangat menitikberatkan kualiti. Setiap CL perlu ada pengalaman sekurang-kurangnya lima tahun, selain memiliki sijil dan kelayakan yang ditetapkan,” katanya.

Permintaan luar negara
Selain penjagaan berpantang di rumah, antara perkhidmatan lain yang ditawarkan termasuk urutan prenatal dan tradisional, pakej selepas keguguran, penyediaan makanan berpantang serta penutup pantang. Semuanya disusun agar ibu tidak perlu berdepan tekanan mengurus semuanya sendiri.
Bukan sekadar mahir menjaga ibu dan bayi, setiap penjaga pantang turut diberi pendedahan tentang sokongan emosi, kerana tempoh berpantang bukan hanya melibatkan fizikal, tetapi juga perubahan emosi seorang ibu.
Perkembangan perkhidmatan ini tidak terhenti di Malaysia. NR Mothercare kini turut menerima permintaan dari luar negara seperti London, Singapura, Brunei dan Abu Dhabi, khususnya daripada rakyat Malaysia yang masih mahu mengekalkan amalan berpantang tradisional walaupun berada jauh dari tanah air.
“Alhamdulillah setakat ini banyak permintaan untuk perkhidmatan NR Mothercare dan majoritinya ialah rakyat Malaysia yang menetap di luar negara.
“Kami menerima tempahan yang cukup luar biasa dan ada kalanya terpaksa menolak kerana sudah melebihi had kuota,” tambahnya.
Selain itu, komitmen mereka dalam menyediakan servis berkualiti tinggi telah mendapat pengiktirafan dalam industri keibubapaan, sekali gus meningkatkan reputasi jenama sebagai penyedia penjagaan ibu berpantang yang dipercayai.



