'Dulu asyik gaduh, sekarang lebih rapat' – Daler Yusuf dedah rahsia didik anak tanpa gajet berlebihan

Family & Parenting
17 Apr 2026 • 12:16 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: 'Dulu asyik gaduh, sekarang lebih rapat' – Daler Yusuf dedah rahsia didik anak tanpa gajet berlebihan

DALAM era digital yang semakin mencengkam, isu pengurusan masa skrin dan disiplin anak-anak kembali menjadi perbualan hangat.

Ramai ibu bapa kini berdepan dilema antara memberi kebebasan atau membentuk rutin yang lebih teratur demi masa depan anak-anak.

Pelakon popular, Daler Yusuf, turut membuka ruang perbincangan di Threads  apabila berkongsi pendekatan tegasnya dalam mendidik anak-anak agar tidak terlalu bergantung kepada gajet, sebaliknya dibiasakan dengan rutin dan aktiviti berstruktur sejak kecil.

Bapa kepada empat cahaya mata itu menegaskan bahawa disiplin bukan sesuatu yang boleh dibentuk hanya melalui pilihan anak semata-mata, sebaliknya perlu dipandu walaupun pada awalnya mungkin tidak disenangi.

Menurutnya, pendekatan itu bermula apabila dia melihat sendiri kecenderungan anak-anak yang lebih selesa dengan dunia skrin berbanding aktiviti luar.

"Baru-baru ini Daler tengok satu video pasal kids yang cakap ayah dia paksa buat sukan dan dia tak suka. Ramai pula di komen sokong, kata ‘tak boleh paksa anak’."

"Tetapi secara jujurnya, anak-anak Daler pun kalau ikut kehendak mereka, memang tidak mahu buat apa-apa.

"Mereka mahu duduk rumah saja main Roblox, Minecraft, atau tengok YouTube Shorts. Bila tanya minat apa… memang ‘tidak ada’," dedah Daler.

Situasi itu mendorongnya untuk mengambil langkah lebih tegas dalam mengawal rutin harian anak-anak termasuk menghadkan penggunaan tablet.

"Jadi, saya buat keputusan untuk hadkan gajet, hanya sekali seminggu dan ‘paksa’ mereka ikut aktiviti seperti kelas renang, tinju dan kelas al-Quran," kongsi pelakon drama Titian Cinta itu lagi.

Image from: 'Dulu asyik gaduh, sekarang lebih rapat' – Daler Yusuf dedah rahsia didik anak tanpa gajet berlebihan

Rutin baharu

Walaupun pada peringkat awal ada tentangan emosi daripada anak-anak, perubahan itu mula kelihatan apabila mereka semakin terbiasa dengan rutin baharu.

"Mula-mula memang mereka sedih, rasa terpaksa. Tetapi lama-kelamaan Alhamdulillah mereka mula menikmati kerana ada kawan-kawan dekat sana. Sekarang mereka sendiri yang teruja nak pergi," jelas pemilik nama sebenar, Daler Yusuf Khamrokulov Muhammad.

Lebih menarik, perubahan tersebut bukan sahaja melibatkan aktiviti harian, malah turut memberi kesan positif terhadap hubungan sesama adik-beradik.

"Dulu bila masa skrin banyak, sikit-sikit bergaduh, cepat marah, tidak mahu bertegur. Tetapi sejak kurangkan tablet dan masa skrin, Alhamdulillah mereka lebih banyak berbual, bermain sama-sama dan mengeratkan hubungan sebagai adik-beradik."

Bagi Daler, pendekatan mendidik anak memerlukan keseimbangan antara kasih sayang dan ketegasan agar mereka tidak hanya mengikut kehendak semasa, tetapi bersedia untuk masa depan.

"Anak-anak memang perlukan disiplin dan rutin, bukan ikut mood semata-mata. Sebab disiplin itu yang akan membantu mereka berjaya dalam hidup nanti," jelas lelaki berusia 33 tahun itu lagi.

Perkongsian tersebut pantas mengundang reaksi pelbagai dalam kalangan ibu bapa, yang turut berkongsi pengalaman masing-masing dalam mendidik anak-anak di era digital ini.

Antara komen yang mencuri perhatian ialah apabila seorang pengguna berkongsi pengalaman memperkenalkan pelbagai aktiviti kepada anak-anaknya walaupun pada awalnya ditolak.

"Betul. Anak-anak saya pun masa mula-mula masuk sekolah bila disuruh masuk itu ini semua tidak mahu. Tetapi saya cakap mana boleh tidak mahu. Kena cuba semua. Baru tahu kita minat yang mana. Kadang-kadang saya isi sahaja nama dia tetapi saya cakap cikgu suruh wajib lama-kelamaan mereka okay. Sekarang yang sulung itu sudah darjah tiga. Masuk sendiri apa-apa dalam kelas punya aktiviti. Sendiri mahu jadi ketua pembentangan dalam kelas, mahu jadi pengawas. Mahu masuk itu ini. Kalau luar sekolah masing-masing main bola kelab luar. Adik dia ikut semua apa abang buat."

Seorang lagi ibu bapa turut menyokong pendekatan aktiviti sukan bagi mengelakkan anak-anak terlalu terdedah kepada gaya hidup pasif.

"Betul. Bersukan memang perlu dipaksa untuk mengelakkan stres dan obesiti. Anak-anak saya pun saya bawa pergi larian santai 5 kilometer setiap bulan."

Tidak kurang juga yang mengambil pendekatan mengehadkan penggunaan gajet hanya pada hujung minggu sebagai usaha membentuk disiplin digital.

"Ya, teruskan Daler. Saya pun menyekat akses kepada gajet pada hujung minggu sahaja. Waktu lain, hendak termenung pun, buatlah, hendak tidur pun, buatlah, kalau pandai, carilah hobi. Termenung pun menggunakan otak juga, tetapi sampai sekarang, masih tidak ada hobi. Kalau berbual, asyik bercakap pasal permainan dan benda-benda yang saya pun tidak faham."

Ada juga yang melihat pendekatan tegas tersebut sebagai satu pelaburan jangka panjang untuk kesihatan dan masa depan anak-anak.

"Sama, saya pun paksa. Untuk menjaga stamina, senang orang menerima kalau hendak pergi temu duga, badan sihat."

"Saya pun paksa Daler, daripada duduk main permainan video, lebih baik pergi taekwondo, boleh belajar kemahiran bersosial juga. Bukannya tidak memberi langsung bermain permainan video, ilmu hidup perlu dipelajari juga, iaitu bermasyarakat dan bersosial."

Perbincangan ini jelas menunjukkan bahawa isu disiplin anak dan penggunaan gajet bukan lagi perkara kecil, sebaliknya sudah menjadi cabaran utama ibu bapa moden dalam membentuk generasi lebih seimbang, aktif dan berdaya saing.