IPOH - Kira-kira 300 peserta berpakaian serba putih memeriahkan program Arafah #QuranHour Peringkat Negeri Perak yang berlangsung di Masjid Jamek Al-Ahmadiah, Kampung Changkat Larang, Lahat di sini pada Isnin.
Pengerusi Rumah Ngaji Perak, Robaatun Hadayiah Harun berkata, sambutan memberangsangkan itu membuktikan kecintaan masyarakat terhadap program berteraskan al-Quran yang semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat negeri ini.
Menurutnya, program berkenaan melibatkan penyertaan pelbagai Rumah Ngaji di seluruh Perak termasuk Rumah Ngaji Masjid Jamek Al-Ahmadiah, Masjid Ibnu Salam, Masjid Hidayah, Masjid Paloh, Masjid Al-Furqan, Surau An-Najmi dan Masjid Botani.
“Alhamdulillah, kehadiran hari ini mencecah 300 orang dan semuanya tampil berpakaian serba putih sebagai simbolik kesucian serta semangat menghayati pengisian Arafah #QuranHour.
“Sambutan ini menunjukkan masyarakat semakin dekat dengan al-Quran dan sentiasa menantikan program-program seperti Quran Hour,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada program tersebut.
**media[3532214]**
Pada majlis itu, bacaan Surah Al-Muzzammil dan Surah Al-Hajj dipimpin imam kelahiran Palestin, Muhammad Wael Alzard manakala sesi tadabbur kedua-dua surah disampaikan pendakwah bebas, Muhammad Musytaq Al Ashari.
Turut hadir, Pengerusi Masjid Al-Ahmadiah Changkat Larang, Parvis Esa.
Robaatun Hadayiah berkata, antara kelainan program kali ini ialah kerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan yang menyediakan perkhidmatan pertukaran al-Quran lama kepada naskhah baharu.
Menurutnya, inisiatif itu bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kaedah pelupusan al-Quran lama yang betul.
“Ramai yang mempunyai al-Quran lama tetapi tidak tahu bagaimana hendak melupuskannya dengan cara yang betul.
“Jadi kita jemput pihak KDN untuk memberi penerangan supaya masyarakat lebih jelas tentang proses pelupusan dan penggantian naskhah al-Quran,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini sebanyak 215 Rumah Ngaji telah diwujudkan di seluruh Perak, sekali gus mencerminkan perkembangan positif gerakan itu di negeri berkenaan.
Katanya, kewujudan Rumah Ngaji turut memberi impak terhadap peningkatan tahap bacaan al-Quran dalam kalangan masyarakat.
“Kalau dahulu daripada 10 orang mungkin hanya seorang yang mampu membaca al-Quran dengan baik, tetapi sekarang dengan adanya Rumah Ngaji, sekurang-kurangnya dua orang daripada 10 sudah boleh membaca dengan baik.
“Kita harap angka itu akan terus meningkat sehingga separuh masyarakat kita mampu membaca, memahami dan mengamalkan al-Quran dalam kehidupan,” ujarnya.
Tambah beliau, Rumah Ngaji Perak akan terus memperluaskan jaringan keahlian dan menambah lebih banyak pusat Rumah Ngaji bagi mengajak lebih ramai masyarakat kembali mendekati al-Quran.

