SHAH ALAM - TH Travel & Services Sdn Bhd (THTS) menyokong penuh penganjuran Arafah #QuranHour 2026 sebagai platform memperkukuh penghayatan ibadah haji menerusi tadabbur al-Quran, khususnya Surah al-Hajj dan Surah al-Muzzammil.
Eksekutif Bimbingan THTS, Muhammad Syawal Sa'ad berkata, Surah al-Hajj membimbing umat Islam memahami syariat, pengorbanan dan tujuan sebenar ibadah haji, manakala Surah al-Muzzammil pula membina kekuatan rohani serta hubungan yang dekat dengan ALLAH SWT.
Menurutnya, pelaksanaan Arafah #QuranHour 2026 yang dijadual berlangsung pada 9 Zulhijah 1447H melibatkan lima pakej haji THTS iaitu pakej Delima, Mutiara, Baiduri, Aqiq dan Fairuz sebagai usaha memperkukuh penghayatan al-Quran dalam kalangan jemaah dan warga kerjanya.
“Semoga penganjuran program Arafah #QuranHour ini menjadi wadah penyatuan hati dan pengukuhan nilai-nilai al-Quran, seterusnya memberi impak positif kepada semua peserta dalam menghayati serta mengamalkan ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian.
“Antara nilai yang perlu diterapkan oleh para hujaj termasuk menjaga solat berjemaah, memperbanyak bacaan al-Quran, memelihara akhlak, mengamalkan sifat sabar dan tolong-menolong serta menjaga hubungan baik sesama masyarakat.
“Haji bukan penamat kepada perjalanan ibadah, tetapi permulaan kepada kehidupan yang lebih baik selain para hujaj perlu menjadi contoh teladan kepada keluarga dan masyarakat dengan menyeru kepada kebaikan serta menjauhi kemungkaran,” ujarnya kepada Sinar Harian.
Arafah #QuranHour 2026 boleh disaksikan secara langsung menerusi Facebook dan YouTube QuranHour, My #QuranTime serta Sinar Harian pada jam 5 petang hingga 6 petang, 26 Mei 2026 (9 Zulhijah 1447H).
Bagi pelaksanaan secara fizikal di Arafah dan Makkah, program itu akan dijalankan melalui beberapa agensi iaitu Tabung Haji HQ, Tabung Haji Travel & Tours, Amani Travel, Juara Travel, Andalusia Travel dan Zahafiz Travel & Tours.
Tambah Muhammad Syawal, tema Arafah #QuranHour 2026, The Chosen One amat bertepatan dengan tujuan penciptaan manusia sebagai hamba ALLAH SWT.
Jelasnya, setiap manusia diciptakan untuk beribadah dan mengabdikan diri kepada ALLAH SWT.
"Tema ini mengingatkan kita tentang tanggungjawab tersebut dalam kehidupan harian.
“Dalam pada itu, umat Islam yang tidak berpeluang menunaikan haji juga boleh menghidupkan Hari Arafah dengan melaksanakan amalan sunah seperti berpuasa pada Hari Arafah dan melaksanakan ibadah korban.
“Selain itu, THTS turut menyediakan platform Alumni Haji bagi menghimpunkan para jemaah sebagai usaha meneruskan ukhuwah dan penghayatan ibadah selepas pulang dari Tanah Suci,” ulasnya.
Mengenai kerjasama bersama Warisan Ummah Ikhlas Foundation (WUIF), beliau berpendapat, kolaborasi tersebut mampu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan membaca dan bertadabbur al-Quran, memahami maksud ayat, menghayati mesej yang disampaikan serta mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.
“Selain itu, usaha ini juga secara tidak langsung dapat memupuk budaya memahami dan mengamalkan al-Quran serta menyemai semangat mencintai kitab suci itu dalam kalangan masyarakat dan ummah keseluruhannya,” ujarnya.




