BerryPay berhasrat menjadi bank digital bagi pasaran antarabangsa

WorldBusiness & Finance
17 Sep 2025 • 9:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

BerryPay berhasrat menjadi bank digital bagi pasaran antarabangsa

image is not available

17/09/2025 - 09:00

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Sept - Syarikat teknologi kewangan, BerryPay berhasrat menjadi sebuah bank digital baharu atau "Neo Bank" yang dikenali sebagai Berry Bank sebagai langkah berani dalam strategi pengembangan global jangka panjang mereka.

BerryPay yang kini beroperasi sebagai penyedia platform pembayaran digital berlesen menyasarkan untuk mengikuti kejayaan gergasi teknologi kewangan dunia seperti STC Pay di Arab Saudi - syarikat yang menggugat bank tradisional dengan mengeluarkan kad debit serta menawarkan ekosistem kewangan menyeluruh.

Pengasas BerryPay dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Azrin Hadi Abdullah berkata, sasaran penubuhan bank itu akan memberi fokus kepada kawasan berpopulasi tinggi dan tidak ramai penduduk yang memiliki akaun bank.

"Visi kami adalah untuk berkembang menjadi sebuah bank digital sepenuhnya yang menawarkan rangkaian perkhidmatan lengkap.

"Kami tidak mahu menjadi bank Malaysia yang lain; sebaliknya, kami fokus kami adalah kepada pasaran berpopulasi tinggi dengan kadar penembusan perbankan digital yang masih rendah.

image is not available
Azrin Hadi Abdullah

"Sekiranya kami menjadi sebuah bank digital atau lebih dikenali sebagai "Neo Bank", kami tidak akan memberi fokus kepada pasaran Malaysia kerana di sini persaingan terlalu tinggi selain populasi yang tidak begitu besar," katanya kepada DagangNews, baru-baru ini.

Azrin Hadi berkata, BerryPay sudah pun mengendalikan operasinya setara institusi kewangan dengan mematuhi piawaian keselamatan dan tadbir urus antarabangsa seperti Pengurusan Risiko dalam Teknologi (RMiT) bekerjasama dengan Qatar National Bank serta Mastercard, dan menjalani semakan tadbir urus tahunan.

Beliau berkata, walaupun bukan bank penuh, BerryPay diberi kuasa untuk membuka akaun maya dan memudahkan deposit—peranan yang hampir menyerupai fungsi bank tradisional.

"Namun, tidak seperti bank konvensional, syarikat ini masih belum menawarkan produk kredit seperti pinjaman peribadi atau pembiayaan aset, mahupun perkhidmatan kutipan hutang," katanya.

IPO sebagai pemangkin pertumbuhan

Beliau berkata, antara tonggak utama dalam pelan pengembangan BerryPay ialah tawaran awam permulaan (IPO), yang dijangka menjadi sumber modal untuk memperluas operasi serta memohon lesen perbankan di beberapa negara.

Katanya, hasil IPO juga akan digunakan bagi mendapatkan lebih banyak bakat baharu untuk menyokong fungsi perbankan yang lebih kompleks serta memacu pengembangan ke pasaran antarabangsa.

"Malaysia telah mengeluarkan lesen kepada lima bank digital termasuk GX Bank, Aeon Bank, Boost Bank, KAF Bank dan Ryt Bank tetapi BerryPay tidak berminat untuk memasuki pasaran tempatan kerana dilihat sudah terlalu padat.

image is not available
Azrin Hadi (tengah) bersama Rakan Kongsi & Pengarah Pembangunan Perniagaan Global BerryPay, Mohd Suhaimi Abdul Hamid (kanan) mengadakan perbincangan bersama bakal pelanggan.

"Sebaliknya, BerryPay akan memberi fokus kepada pasaran membangun dan kurang mendapat perkhidmatan perbankan, antaranya Afrika (Algeria dan beberapa negara lagi), Asia Barat (Dubai, Arab Saudi), Asia (Filipina, Pakistan) dan Eropah (potensi sebagai hab pusat, tertakluk kepada hasil IPO memandangkan kos operasi tinggi di UK dan EU)," katanya.

Istilah “Islamik” dan nilai tambah BerryPay

Azrin Hadi berkata, konsep kewangan Islam atau rumusan patuh syariah dilihat sebagai pemacu utama dalam industri teknologi kewangan global termasuk bagi syarikat seperti BerryPay kerana ia memberi kelebihan ketara dan membuka peluang pasaran yang lebih luas.

Katanya, di peringkat global, terdapat hampir 2 bilion umat Islam dan jumlah ini terus meningkat dan ramai mengelak sistem perbankan konvensional kerana bimbang terjebak dengan riba (faedah).

Penyediaan rumusan kewangan patuh syariah secara langsung memenuhi keperluan pasaran besar yang masih kurang diberi perhatian.

"Permintaan terhadap kewangan Islam kini amat tinggi, dan kegagalan untuk menawarkannya boleh menyebabkan kami ketinggalan.

"Malah, konsep Maqasid Syariah kini semakin luas dan meliputi hampir semua aspek gaya hidup, termasuk kewangan.

"Justeru, masyarakat semakin cenderung mencari pilihan patuh syariah dalam urusan harian, bukan sekadar ibadah, seiring usaha menjauhi riba," katanya.

image is not available
Azrin Hadi (kanan) bersama Rakan Kongsi & Pengarah Pembangunan Perniagaan Global BerryPay, Mohd Suhaimi Abdul Hamid (kiri) bersama bakal pelanggan syarikat.

Bagi BerryPay, sifat patuh syariah menjadi antara perkara utama yang membuka jalan kepada projek baharu.

Sebagai contoh katanya, syarikat berjaya mendapat projek di Algeria kerana menawarkan rumusan perbankan patuh syariah.

"Di Malaysia sendiri, ramai pelanggan menekankan kepatuhan syariah sebelum memilih penyedia kewangan, memperlihatkan kepentingannya. Malah, ada yang menganggap usaha menyediakan perkhidmatan ini sebagai satu bentuk “jihad” untuk membantu umat Islam yang enggan menggunakan perbankan konvensional," kata Azrin.

Tarikan lebih luas, merentas agama

Beliau berkata, perbankan Islam bukan hanya diterima oleh orang Islam tetapi prinsip patuh syariah yang menekankan ketelusan, keadilan dan bebas daripada unsur mudarat atau ketidakpastian semakin digemari masyarakat umum.

Di Malaysia, beliau mendakwa, lebih 90% pelanggan produk perbankan Islam di bank-bank utama adalah terdiri bukan Muslim kerana ia dianggap setara dengan halal - selamat, telus dan beretika.

Patuh syariah juga katanya, selari dengan prinsip ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) yang kini menjadi penanda aras global. Ia menekankan kelestarian, penghormatan kepada wanita, kanak-kanak dan penjagaan alam sekitar.

Azrin berkata, BerryPay juga menawarkan produk inovatif seperti VA Umrah (akaun maya untuk Umrah), membolehkan pengguna menyimpan bagi tujuan umrah tanpa dikenakan sebarang caj.

"Ia sangat berguna bagi golongan berpendapatan rendah yang sering terbeban dengan yuran bank konvensional, sama ada kerana baki minimum atau akaun tidak aktif.

"Pendekatan ini menjadikan platform kewangan mereka sebagai alat perancangan kewangan yang inklusif, membantu masyarakat berpendapatan rendah mencapai matlamat seperti memiliki rumah, menunaikan haji, atau menabung untuk masa depan tanpa beban tambahan," katanya. - DagangNews.com

standard