Yasmin, Iskandar Mizal Mahmood dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Jasa Kita

LocalBusiness & Finance
12 Sep 2025 • 6:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Yasmin, Iskandar Mizal Mahmood dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Jasa Kita

image is not available

12/09/2025 - 18:10

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Sept - Jasa Kita Berhad mengumumkan pelantikan baharu dalam lembaga pengarah selepas seorang pemegang saham utama mengambil alih kawalan ke atas syarikat pengeluar peralatan berkuasa dan peralatan industri itu.

Datuk Dr Yasmin Mahmood dan adiknya, Datuk Seri Iskandar Mizal Mahmood dilantik menyertai lembaga pengarah syarikat sebagai pengarah eksekutif berkuat kuasa serta-merta, menurut pemfailan bursa pada Jumaat.

Yasmin dan suaminya, Abd Azis Mohamad, menguasai Jasa Kita melalui Kintan Prima Sdn Bhd.

Iskandar pula merupakan pemegang saham besar dengan pegangan langsung sebanyak 5% dalam Jasa Kita. Secara keseluruhan, ketiga-tiga mereka memiliki 50.19% kepentingan dalam Jasa Kita.

Kintan Prima memperoleh tambahan 40.33% pegangan daripada bekas pemegang saham utama, Robert Tan Hua Choon dan anaknya Tan Han Chuan, dengan nilai RM68.9 juta pada 11 September 2025.

Penyempurnaan urus niaga itu telah mencetuskan tawaran pengambilalihan tanpa syarat bagi baki saham Jasa Kita yang belum mereka miliki pada harga 38 sen sesaham.

Abd Azis merupakan penawar utama bagi tawaran pengambilalihan tersebut.

Yasmin sebelum ini pernah berkhidmat dalam lembaga pengarah beberapa syarikat tersenarai awam, termasuk Bintulu Port Holdings Berhad, Pos Malaysia Berhad dan UMW Holdings Berhad.

Beliau kini turut menganggotai lembaga pengarah MBSB Berhad dan Citaglobal Berhad.

Iskandar pula kini berkhidmat sebagai pengarah di Boustead Holdings Bhd. Sebelum ini, beliau pernah menganggotai lembaga pengarah Malaysia Airports Holdings Berhad, Media Prima Berhad dan Theta Edge Berhad.- DagangNews.com

standard