
TAWAU: Ahli-ahli Majlis Daerah yang baharu bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diminta untuk bersama Kerajaan dalam menjayakan pelaksanaan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, dalam hal ini, semua pihak terbabit perlu bersikap lebih peka dan proaktif dalam melaksanakan perancangan yang yang telah diputuskan.
“Sehubungan itu, saya berharap semua ahli-ahli majlis bekerjasama sebagai satu pasukan dan bertanggungjawab memastikan apa juga perancangan serta aspirasi kerajaan masa kini dapat dilaksanakan dengan telus dan berkesan.
“Mereka juga perlu lebih proaktif terutama dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya ketika merasmikan Majlis Angkat Sumpah dan Upacara Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli-ahli Majlis Daerah Lahad Datu, Semporna dan Kunak yang baharu bagi tahun 2023-2025 di Ballroom II, Borneo Royale Hotel di sini, pada Isnin.
Joachim berkata, Ahli-ahli Majlis perlulah melengkapkan diri dengan ilmu dan kefahaman terhadap fungsi, peranan dan tugas bagi memudahkan mereka melaksanakan kewajipan dan merancang pembangunan.
Ini kerana pelantikan seseorang Ahli Majlis itu bertujuan membantu PBT dalam membuat dasar, merancang dan memantau pelaksanaan program pembangunan di peringkat PBT, katanya, sambil menambah Ahli Majlis juga adalah barisan hadapan sekali gus perlu memahami peranan dan fungsi selain menegakkan integriti, ketelusan dan akauntabiliti awam.
“Dalam uşaha memberikan satu perubahan dalam pentadbiran dan pengurusan PBT, tugasan Ahli Majlis bukan setakat mendapatkan atau menerima aduan rakyat, tetapi dalam masa sama perlu mengamalkan turun padang, agar lebih jelas dengan masalah dihadapi penduduk setempat,” katanya.
Seramai 56 Ahli Majlis yang baharu dilantik menerima watikah pelantikan masing-masing pada majlis itu.
Bagi Daerah Lahad Datu jumlah Ahli Majlis yang telah dilantik seramai 20 orang manakala bagi Daerah Semporna dan Kunak masing-masing seramai 18 orang.
Turut hadir ialah Pembantu Menteri I, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kunak, Norazlina Hj Arif; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Dr. Jamili Nais; Timbalan Setiausaha Tetap IK Kememterian, Fauziah Giau; Pengerusi-pengerusi bagi Majlis Daerah Lahad Datu, Majlis Daerah Semporna, dan Majlis Daerah Kunak; Firuz Idzualdeen @ Benetty Mohd Dzul, Alexander Liew dan Awang Mohd Yusoff; semua Pegawai-pegawai Eksekutif Majlis Daerah Lahad Datu, Semporna dan Kunak; Jackley Gielbert @ Lontou, Ali Adam Hj Hamjah dan Nazri Pintal serta kakitangan kementerian.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

