Bersatu beri jaminan peruntukan untuk semua kawasan tanpa lihat parti

LocalPolitics
25 Jul 2026 • 6:07 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Bersatu beri jaminan peruntukan untuk semua kawasan tanpa lihat parti

SEREMBAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberi jaminan peruntukan kepada semua kawasan akan disalurkan secara adil tanpa mengira parti sama ada diwakili kerajaan atau pembangkang.

Ia sekiranya gabungan itu diberi mandat mentadbir kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ketika ini.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendekatan tersebut pernah dilaksanakan ketika beliau menjadi Perdana Menteri dengan semua Ahli Parlimen menerima peruntukan tanpa mengira kedudukan politik masing-masing.

“Contohnya, ketika saya menjadi Perdana Menteri, saya memberikan peruntukan kepada semua ahli Parlimen, sama ada daripada pihak kerajaan mahupun bukan kerajaan.

“Kita akan umumkan semua akan mendapat peruntukan. Contohnya, jika kita menang 24 kerusi, kawasan yang dimenangi pihak lain juga akan menerima peruntukan yang sama,” katanya semasa sidang akhbar selepas pelancaran Tawaran Bersatu Demi Nismilan di Nilai di sini hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin berkata, Bersatu menerusi manifesto yang diumumkan itu akan menggubal undang-undang agar semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menerima peruntukan tahunan yang sama, tanpa mengira parti politik.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, amalan tidak menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang bukan satu contoh pentadbiran yang baik kerana ia akhirnya memberi kesan kepada rakyat di kawasan terbabit.

Katanya, peruntukan bukan diberikan untuk kegunaan peribadi wakil rakyat sebaliknya bagi membantu penduduk di kawasan masing-masing mengikut prosedur ditetapkan.

“Peruntukan itu bukan diberikan secara peribadi kepada wakil rakyat untuk digunakan sesuka hati.

“Ia digunakan untuk membantu penduduk di kawasan mereka dan terdapat prosedur-prosedur yang mesti diikuti,” katanya.

Beliau turut meluahkan kekesalan wakil rakyat pembangkang ketika ini, termasuk dirinya, tidak menerima peruntukan daripada kerajaan Persekutuan sehingga sekarang.

“Saya sendiri adalah antara yang tidak menerimanya. Kita hendak menunjukkan bahawa pengagihan dana itu perlu dilakukan secara adil kerana wang tersebut bukan untuk kegunaan peribadi mana-mana wakil rakyat.

“Sebaliknya, ia digunakan untuk membantu penduduk di kawasan masing-masing,” katanya. – UTUSAN

The post Bersatu beri jaminan peruntukan untuk semua kawasan tanpa lihat parti appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved