Kerajaan teliti isu Masjid Palm Height

LocalPolitics
25 Jul 2026 • 5:23 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Kerajaan teliti isu Masjid Palm Height

LAHAD DATU: Kerajaan Negeri akan menjalankan penelitian menyeluruh terhadap isu melibatkan Masjid Palm Height sebelum sebarang keputusan dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang serta kepentingan semua pihak yang terlibat.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan  Datuk Dr Mohd Arifin mohd Arif berkata perkara itu akan dibincangkan terlebih dahulu bersama Setiausaha Kerajaan Negeri dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) bagi memastikan semua aspek perundangan, pentadbiran dan perancangan diteliti secara menyeluruh.

“Kerajaan Negeri berharap isu berkenaan dapat diselesaikan secara harmoni menerusi perbincangan dengan agensi berkaitan sambil menghormati proses perundangan yang sedang berjalan.

“Kita kekal komited memastikan setiap penyelesaian dicapai selaras dengan undang-undang sedia ada serta prosedur perancangan yang ditetapkan di samping menjaga kepentingan masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Jelajah Aspirasi Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) di Majlis Daerah Lahad Datu.

Isu Masjid Palm Height mendapat perhatian selepas Mahkamah Tinggi Tawau dilaporkan mengeluarkan perintah interim bagi menghentikan sementara kerja pembinaan sehingga pertikaian berhubung lokasi projek itu diselesaikan.

Pertikaian tersebut timbul susulan dakwaan bahawa tapak yang dicadangkan berada di kawasan Open Space B yang diperuntukkan sebagai kawasan rekreasi awam berdasarkan Pelan Pembangunan Perumahan Palm Height yang telah diluluskan.

Perkembangan itu mencetuskan perbincangan dalam kalangan masyarakat, dengan pelbagai pihak berharap penyelesaian dapat dicapai berlandaskan undang-undang, peraturan perancangan serta mengambil kira kepentingan penduduk sekitar.

Dalam perkembangan lain Dr Mohd Arifin berkata KKTP terus memperkukuh pemantauan terhadap projek perumahan yang mengalami kelewatan atau terbengkalai serta isu berkaitan hak milik strata bagi melindungi kepentingan pembeli rumah di seluruh Sabah.

Beliau berkata beberapa projek perumahan termasuk di Kota Kinabalu dan Projek Perumahan Taman Khazanah di Lahad Datu yang telah lama tertangguh, dikenal pasti untuk dipantau dengan lebih rapi melalui laporan terperinci yang akan diperoleh daripada pegawai daerah.

Menurutnya kementerian akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi mengenal pasti penyelesaian yang bersesuaian, termasuk mempercepat urusan hak milik strata serta memperkukuhkan pelaksanaan perundangan berkaitan perbadanan pengurusan.

Mengulas mengenai jelajah berkenaan Dr Mohd Arifin berkata Lahad Datu merupakan destinasi ke-16 daripada 25 daerah yang dijadualkan dalam siri lawatan itu.

Beliau berkata program tersebut akan diteruskan ke Kunak sebelum bergerak ke Tambunan, Tenom, Nabawan dan Keningau, seterusnya menamatkan jelajah di beberapa daerah Pantai Barat termasuk Ranau.

Bercakap mengenai komuniti Palauh beliau berkata kementerian akan memperhalusi cadangan mewujudkan sebuah pusat transit yang boleh dijadikan platform pelaksanaan program pendidikan dan pembangunan komuniti dengan kerjasama agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan.

Ujarnya inisiatif itu diharap dapat memperluaskan akses pendidikan kepada komuniti berkenaan.

Beliau menambah Kerajaan Negeri juga akan terus menangani isu penempatan setinggan menerusi pendekatan yang diselaraskan di seluruh Sabah bagi mengenal pasti penyelesaian yang praktikal dan mampan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved