
PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung kemelut yang membawa kepada penggantungan kegiatan Perikatan Nasional (PN).
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, pihaknya bersedia mengemukakan segala dokumen, maklumat dan penjelasan yang diperlukan sekiranya diminta RoS.
“Tindakan Bersatu sejak awal adalah berdasarkan proses dan saluran undang-undang yang tersedia.
“Perkara berkenaan perlu diselesaikan berdasarkan fakta, dokumen, keterangan, Perlembagaan PN dan peruntukan undang-undang berkaitan.
“Apa sahaja persoalan berbangkit perlu dirujuk kembali kepada Perlembagaan PN dan Akta Pertubuhan serta bukti-bukti, saksi-saksi dan dokumen-dokumen yang ada,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tun Faisal berkata, perkara paling penting adalah aduan yang dikemukakan berdasarkan isu, Perlembagaan PN dan fakta yang dipercayai perlu diberikan perhatian.
“Tidak wajar mempolitikkan keputusan RoS ini. Sebaiknya memberi ruang supaya proses undang-undang berjalan dan semua pihak menghormati keputusan pihak berkuasa serta mahkamah,” katanya.-UTUSAN
The post Bersatu bersedia bantu siasatan RoS appeared first on Utusan Malaysia.






