Bersatu gesa kerajaan ambil tindakan terhadap King Sing

3 Jul 2023 • 5:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ronald Kiandee

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing sekiranya benar beliau mengganggu tugas penjawat awam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) seperti tular baru-baru ini.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, walaupun King Sing mempunyai pas khas untuk memasuki kawasan berkenaan, namun tindakan beliau mengganggu pegawai imigresen terbabit adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

“Penjawat awam hanya menjalankan tugas mengikut bidang tugas dan fungsi mereka, tidak wajar mereka dihalang atau dikasari dalam apa jua keadaan.

“Pegawai imigresen perlu dihormati dan dibenarkan menjalankan tugas sah mereka tanpa gangguan serta tekanan daripada orang ramai,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada Khamis, Datuk Seri Tiong King Sing dilaporkan oleh media, memasuki Terminal 1 KLIA dan menceroboh kaunter Jabatan Imigresen bagi mengganggu tindakan pegawai imigresen yang menahan seorang pelancong dari negara asing.

Ronald dalam pada itu, turut mengingatkan mana-mana pihak agar tidak menghalang atau mengganggu tugas pihak berkuasa.

Ini kerana katanya, ia membabitkan hal ehwal keselamatan serta kedaulatan negara.

ARTIKEL BERKAITAN: