Bersatu, PAS setuju mansuh jawatan Pengerusi PN: Muhyiddin

LocalPolitics
28 Jan 2026 • 4:48 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dimansuhkan dan kepemimpinan gabungan itu disusun semula, susulan pertikaian dalaman berterusan mengenai pelantikan pemimpin baharu.

Bekas Perdana Menteri itu dalam dalam sepucuk surat kepada pimpinan PAS, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) berkata, Bersatu dan PAS bersetuju PN perlu distruktur semula melalui penubuhan dua badan baharu — iaitu Majlis Presiden diterajui Bersatu dan Majlis Eksekutif yang dipengerusikan PAS.

Muhyiddin berkata, Majlis Presiden akan berfungsi sebagai badan pembuat keputusan tertinggi gabungan itu, termasuk menetapkan dasar, manakala Majlis Eksekutif pula akan mengurus pentadbiran harian selaras dengan keputusan yang dibuat.

"Dengan penstrukturan semula PN, jawatan pengerusi akan dimansuhkan dan isu pelantikan pengerusi baharu tidak lagi timbul," kata Muhyiddin dalam surat itu.

Difahamkan, langkah itu diambil selepas pertikaian dalaman PN berlarutan berhubung jawatan pengerusi gabungan itu selepas wujud perbezaan pandangan dalam kalangan parti komponennya mengenai peralihan kepimpinan dan imbangan kuasa.

Cadangan itu dibuat selepas satu pertemuan di kediaman Muhyiddin pada 16 Januari lalu bersama Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Muhyiddin berkata, Abdul Hadi menekankan keperluan PN kekal sebagai sebuah gabungan yang mampu menarik sokongan masyarakat majmuk Malaysia, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Tambahnya, pimpinan Gerakan dan MIPP telah dimaklumkan mengenai persetujuan itu dan menyatakan sokongan terhadap pelan berkenaan.

Bagaimanapun, suasana kembali tegang selepas beliau dimaklumkan bahawa Timbalan Setiausaha Agung PN telah mengeluarkan notis untuk mengadakan mesyuarat khas Majlis Tertinggi esok, dengan salah satu agendanya adalah pelantikan Pengerusi baharu.

Muhyiddin mengesahkan tidak menerima notis itu dan tidak dijemput menghadiri mesyuarat itu.

"Mesyuarat yang dicadangkan serta agendanya itu bercanggah dengan konsensus yang telah dicapai lebih awal antara Bersatu, PAS, Gerakan dan MIPP," katanya sambil menggesa mesyuarat khas itu dibatalkan.

Muhyiddin sebaliknya menjemput semua presiden parti gabungan PN menghadiri satu perbincangan 'pra-majlis' di kediamannya pada masa yang sama, iaitu pada esok.

Beliau berkata, pertemuan dalam kalangan pimpinan parti itu telah pun dipersetujui sebagai langkah perlu sebelum sebarang mesyuarat Majlis Tertinggi diadakan.

"Kita harus kembali kepada semangat muafakat dalam menyelesaikan kebuntuan dalaman PN secara harmoni," jelasnya.

Muhyiddin menerusi surat itu turut menggariskan langkah segera untuk melaksanakan penstrukturan semula itu, termasuk penubuhan jawatankuasa dalam setiap parti anggota bagi mengkaji pindaan kepada perlembagaan PN, perundingan antara presiden parti mengenai perubahan yang dicadangkan, serta satu mesyuarat Majlis Tertinggi untuk meluluskannya secara rasmi. - 28 Januari, 2026

The post Bersatu, PAS setuju mansuh jawatan Pengerusi PN: Muhyiddin appeared first on Scoop.