Bersatu pecat Saifuddin Abdullah

LocalPolitics
6 Jan 2026 • 9:56 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Bersatu telah memecat Ahli Majlis Pimpinan Tertingginya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkuat kuasa hari ini.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota ketika dihubungi Scoop mengesahkan pemecatannya dan akan mengemukakan rayuan.

Menurut sepucuk surat daripada Lembaga Disiplin parti yang bertarikh hari ini, keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu semalam.

Surat itu dilaporkan menyatakan Saifuddin melanggar Klausa 9.1.4 Perlembagaan parti, namun tidak memperincikan kesalahan yang didakwa dilakukan oleh Ahli Parlimen Indera Mahkota itu.

Bekas menteri berkenaan sebelum ini telah dipanggil oleh Lembaga Disiplin parti susulan gesaannya supaya Presiden Bersatu dan ketika itu Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, meletakkan jawatan.

Beliau turut mendesak peletakan jawatan beberapa pemimpin kanan parti lain termasuk Datuk Seri Azmin Ali.

Saifuddin, yang merupakan bekas Pengerusi PN Pahang turut menggesa Muhyiddin menjelaskan sama ada menantunya, ahli perniagaan dalam buruan Muhammad Adlan Berhan telah melarikan diri ke luar negara susulan penularan gambar-gambar yang menunjukkan beliau hidup mewah di luar negara.

Pendiriannya itu menyebabkan sayap Pemuda Bersatu menggesa tindakan disiplin segera diambil terhadap Saifuddin. – 6 Januari 2026

The post Bersatu pecat Saifuddin Abdullah appeared first on Scoop.