Bersatu persoal tindakan disiplin PN, nafi buat salah

LocalPolitics
26 Oct 2026 • 11:44 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Bersatu persoal tindakan disiplin PN, nafi buat salah

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan dakwaan bertindak bertentangan dengan kepentingan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya mempersoalkan tindakan disiplin yang bakal dikenakan terhadap parti itu.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Bersatu bertindak mengikut peraturan apabila melaporkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) berhubung dakwaan pelanggaran peraturan dalam PN.

“Tak ada (surat tatatertib PN). Pertama, kenapa nak ambil tindakan tatatertib pada kita yang tak buat salah? Kalau ikut cerita yang telah pun berlaku, kita yang melaporkan kepada ROS kan?

“Jadi di situ saja sudah ada bukti kesalahan-kesalahan yang mereka lakukan dan kita ikut peraturan dan undang-undang laporkan pada pihak yang mempunyai kuasa.

“Di bawah Akta Pertubuhan, yang berkuasa ialah ROS. Jadi itu yang berlaku. Agak aneh dan luar biasa kalau Majlis Tertinggi PN pula buat keputusan nak ambil tindakan untuk menghukum kita. Apa salah kita?” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Bersatu, di sini malam ini.

Muhyiddin berkata, setakat ini Bersatu masih belum menerima sebarang surat berhubung tindakan disiplin yang diumumkan PN.

“Tapi tak apalah, kita tengok setakat ini tak ada apa-apa lagi,” katanya.

Semalam, PN memaklumkan akan memulakan tindakan disiplin terhadap Bersatu susulan tindakan parti itu yang didakwa bertentangan dengan kepentingan gabungan berkenaan.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan itu akan dilaksanakan mengikut Fasal 15 Perlembagaan PN, dengan notis mengenainya akan dikemukakan dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, tindakan disiplin itu boleh membawa kepada hukuman berbentuk amaran, penggantungan atau pemecatan Bersatu daripada PN. – UTUSAN

The post Bersatu persoal tindakan disiplin PN, nafi buat salah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved