MUAR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan akan bertanding 16 kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Antara calon yang diumumkan ialah bekas Menteri Besar Johor, bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat serta anak kepada bekas wakil rakyat untuk menghadapi saingan kali ini.
Bekas ADUN Sedili, Rasman Ithnain kembali dicalonkan di DUN Sedili, manakala anaknya yang juga Ketua Armada Bersatu Johor, Mohamad Alias diberi kepercayaan bertanding di DUN Panti.
Turut menjadi perhatian ialah pencalonan bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat dan bekas Ahli Parlimen Batu Pahat, Mohd Rashid Hasnon di DUN Senggarang.
Sementara itu, bekas Menteri Besar Johor, Sahruddin Jamal akan mempertahankan kerusi DUN Bukit Kepong yang dimenanginya pada PRN lalu.
Nama-nama tersebut diumumkan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam majlis pengumuman calon di Pejabat Bersatu Pagoh pada malam Khamis.






