Pas, Bersatu guna logo PN pada PRN Johor

LocalPolitics
26 Jun 2026 • 12:07 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pas, Bersatu guna logo PN pada PRN Johor
Ahmad Samsuri

MUAR - Perikatan Nasional (PN) mengesahkan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menggunakan logo gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penggunaan logo yang sama tidak akan menimbulkan kekeliruan kepada pengundi memandangkan kedua-dua parti tidak bertembung sesama sendiri di kerusi yang ditandingi.

“Pas guna logo PN, begitu juga Bersatu. Tidak ada yang keliru kerana Pas tidak berlawan dengan Bersatu dalam kerusi PN, jadi tidak berlaku sebarang pertindihan atau pertembungan,” katanya selepas Majlis Pengumuman Calon Pas PN bagi PRN Johor di sini pada Khamis.

Ditanya mengenai jumlah kerusi yang ditandingi Pas menunjukkan penurunan daripada 15 kepada 11 kerusi berbanding pilihan raya lalu, Ahmad Samsuri menegaskan perkara itu tidak boleh dijadikan isu kerana setiap keputusan dibuat berdasarkan pertimbangan semasa.

“Mana-mana parti yang ingin bertanding dalam pilihan raya tentu membuat pertimbangan berdasarkan senario semasa berbanding lima atau empat tahun lalu.

“Tentulah ada pertimbangan tertentu yang digunakan dan saya rasa ia tidak memberikan gambaran negatif apa-apa. Kita bertanding kerana mahu menang dalam pilihan raya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengulas keputusan ADUN Maharani, Abdul Aziz Talib yang tidak dicalonkan semula pada PRN kali ini.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor dan merupakan perkara biasa dalam sesebuah parti politik.

“Di dalam Pas, mana-mana penyandang faham bahawa posisi itu bukan milik peribadi sesiapa. Atas posisi saya pun, bertanding dan menang di DUN serta Parlimen bukan kerana kerusi itu milik saya.

“Kadangkala berlaku perubahan yang perlu dilakukan atas pelbagai sebab. Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai faktor-faktor tertentu termasuk soal peribadi. Apa yang penting, kita menampilkan calon baharu untuk bergerak ke hadapan,” katanya.

Ahmad Samsuri berkata, daripada 11 calon Pas yang diumumkan, terdapat beberapa calon yang pernah bertanding sebelum ini termasuk di kerusi berbeza, namun lebih 50 peratus daripada mereka merupakan muka baharu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved