Bersatu pulihkan ekonomi, bukan berebut kuasa: Hiew

Politics
6 Jan 2023 • 4:46 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Bekas ahli parlimen Kota Kinabalu Datuk Hiew King Cheu menggesa wakil rakyat di negeri ini supaya menumpukan perhatian kepada pemulihan ekonomi dan bukannya berebut kuasa.

Beliau berkata perebutan kuasa politik hanya akan melemahkan lagi Sabah.

“Pemimpin perlu bersatu dalam menangani masalah berlarutan selepas pandemik Covid-19.

“Kerajaan Sabah mempunyai perwakilan dari semua pihak dan parti politik, dan mesti kekal bersatu kerana perjanjian Kerajaan Perpaduan telah pun dimeterai dan disokong.

“Wakil rakyat dipilih oleh rakyat dan mereka ingin supaya pemimpin dapat melakukan yang terbaik untuk membangunkan kesejahteraan dan kemajuan Sabah.

“Tiada siapa yang mahu melihat satu lagi masalah dan kelemahan akibat ketamakan dan sikap mementingkan diri sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, Khamis.

Menegaskan bahawa Kerajaan Negeri yang bersatu adalah penyelesaian terbaik untuk rakyat Sabah, Hiew menggesa wakil rakyat supaya mendedikasikan diri kepada perkhidmatan untuk rakyat.

“Kerajaan Sabah tidak harus menambah sakit kepala kerana bimbang berlakunya rampasan balik kuasa. Ini tidak membantu Sabah kerana sudah tiba masanya kita semua bersatu!

“Kami menuntut semua wakil rakyat untuk bangkit dan berjuang untuk Sabah yang lebih baik, mantap, stabil dan progresif!

“Pembinaan negara bangsa bergantung kepada perpaduan rakyat. Dengan itu, kesemua 73 orang ahli Dewan Undangan Negeri Sabah yang mewakili rakyat Sabah perlu menunjukkan contoh yang baik.

“Buat yang terbaik untuk rakyat dan berkhidmat dengan tekun. Tiada apa-apa yang boleh menghalang wakil rakyat untuk duduk bersama-sama wakil rakyat lain untuk merangka rancangan bagi membantu rakyat Sabah,” kata Hiew.

Beliau mengulangi bahawa pemimpin tidak perlu bergaduh sesama sendiri sebaliknya mengarahkan perjuangan ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih baik, pembangunan dan menuntut semula hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Untuk mendesak hasil cukai 40 peratus dan mendapatkan pertambahan peruntukan Belanjawan Persekutuan tahunan pastinya akan membawa ekonomi Sabah satu langkah besar ke hadapan.

“Lakukan yang perlu dan kami akan menghargai anda.”

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.