Sokongan terhadap Hajiji sebagai KM tetap teguh

Politics
6 Jan 2023 • 2:16 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Pakatan Harapan Sabah (PH Sabah) pada Khamis menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor untuk terus mengetuai pentadbiran kerajaan negeri.

Timbalan Presiden PBS Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata parti itu termasuk Adun mereka masih kekal menyokong Hajiji dan melihat tiada keperluan untuk mengemukakan usul undi percaya di Dewan Undangan Negeri Sabah terhadap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu.

“Saya pasti 110 peratus PBS masih menyokong kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor (sebagai Ketua Menteri Sabah). Saya fikir tiada keperluan (mengemukakan usul undi percaya terhadap Hajiji) tetapi jika ia diperlukan saya percaya kami akan menang,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai isu tersebut di sini pada Khamis.

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata demikian selepas majlis penyampaian kepala singa sempena Tahun Baharu Cina kepada pelbagai persatuan dan tokong di negeri ini, di sini pada Khamis.

Rabu lalu, Setiausaha Agung GRS Datuk Seri Masidi Manjun berkata GRS bersedia membuktikan keabsahan sokongan terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri susulan difahamkan ada pihak tertentu mendakwa memperoleh lebih separuh sokongan daripada Adun untuk membolehkan kumpulan itu menubuhkan kerajaan negeri baharu.

Pada majlis sama Timbalan Presiden Star Datuk Ellron Angin turut menyatakan pendirian bahawa Star mereka tetap setia menyokong kepimpinan Hajiji.

“Bagi Star, semua Adun kami menyokong Datuk Hajiji. Kami setia kepada beliau,” katanya.

PBS dan Star merupakan antara parti komponen di bawah GRS selain Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno). DUN Sabah mempunyai 79 Adun iaitu 73 Adun yang dipilih dan enam Adun dilantik.

Ketika ini Hajiji mempunyai sokongan 59 Adun iaitu 29 daripada GRS, Barisan Nasional (17), PH (7), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (3), Parti Bangsa Malaysia (1), Parti Harapan Rakyat Sabah (1) dan seorang Adun Bebas.

Sementara itu, tujuh Adun PH Sabah berpendirian mahu memastikan kestabilan politik Sabah dan tidak mahu menyokong kerajaan yang dibentuk melalui pintu belakang.

Adun-Adun PH Sabah itu ialah Datuk Christina Liew (Api-Api), Datuk Fung Ming Poon (Tanjung Papat), Datuk Ewon Benedick (Kadamaian), Phoong Jin Zhe (Luyang), Jannie Lasimbang (Kapayan), Tan Lee Fatt (Likas) dan Peto Galim (Inanam).

“Kami memerhati dengan serius perkembangan politik di Sabah dan telah mengadakan perbincangan sesama Adun PH Sabah seramai tujuh orang mengenai situasi semasa ini.

“Kami ingin memaklumkan tidak memberikan akuan bersumpah menyokong mana-mana pihak selepas tahun 2020.

“Jika ada pihak yang mendakwa mendapat akuan bersumpah daripada kami, maka ianya tidak benar melainkan kenyataan terakhir kami selepas sidang Dewan Undangan Negeri Sabah pada November 2022 yang lepas.

“Kami juga menyatakan pendirian dan keputusan secara en-bloc untuk memastikan kestabilan politik Sabah dibina agar tadbir urus pembangunan dan perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya dalam kenyataan media, pada Khamis.

Adun-Adun PH Sabah itu juga berpendirian tidak mahu menyokong Kerajaan yang dibentuk melalui pintu belakang.

“Sebarang usaha untuk menubuhkan kerajaan baharu seharusnya berdasarkan agenda yang konstruktif dan polisi yang baik demi kepentingan rakyat Sabah.

“Jika tidak, rakyat akan marah kerana ahli politik dilihat tamak kuasa dan rampas kuasa semata-mata,” kata kenyataan itu.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.