Bersatu sedang menjadi masalah struktur dalam PN

PoliticsOpinion
24 May 2026 • 10:39 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bersatu sedang menjadi masalah struktur dalam PN

SAYA membaca beberapa kecaman Ketua Penerangan Bersatu Malaysia, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, terhadap artikel Dr Nur Ayuni Mohd Isa tetapi ia sebenarnya tidak menjawab pun inti persoalan yang dibangkitkan.

Sebaliknya, beliau lebih banyak menyerang kredibiliti penulis, mempertikai gelaran akademik dan menggunakan bahasa yang bersifat memperlekeh, sedangkan isu pokok yang dibangkitkan Ayuni ialah soal masa depan Perikatan Nasional (PN), krisis dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kelemahan jentera akar umbi dan kesan langsungnya terhadap Pas serta keseluruhan gabungan pembangkang.

Pertama, Tun Faisal berhujah bahawa Bersatu tidak mungkin menguasai PN kerana jawatan-jawatan utama PN seperti Pengerusi, Setiausaha Agung, Bendahari, Ketua Penerangan dan Ketua Pemuda banyak dipegang oleh Pas.

Hujah ini lemah dari segi analisis kuasa sebenar. Dalam politik, penguasaan tidak semestinya berlaku melalui jawatan formal semata-mata. Penguasaan juga boleh berlaku melalui veto politik, sekatan kemasukan parti baharu, tekanan terhadap agihan kerusi, pengaruh dalam rundingan dan kemampuan satu parti menghalang hala tuju gabungan.

Jika benar Bersatu tidak dominan, mengapa isu kemasukan parti-parti Melayu-Islam ke dalam PN menjadi begitu tegang? Mengapa Bersatu dilihat sebagai pihak yang paling kuat membantah kemasukan entiti baharu? Mengapa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, akhirnya menyatakan bahawa Pas perlu menilai semula kerjasama dengan Bersatu? Di sinilah asas hujah Ayuni. Beliau bukan sekadar bercakap tentang carta organisasi, tetapi tentang realiti kuasa dalam PN.

Kedua, Tun Faisal menyatakan keputusan PN dibuat secara konsensus, maka semua pihak termasuk Pas perlu akur. Dari sudut prinsip organisasi, hujah ini betul. Tetapi masalahnya, konsensus tidak boleh dijadikan alat untuk menutup persoalan substantif. Jika sesuatu keputusan dibuat kerana tekanan, kebimbangan agihan kerusi atau sikap eksklusif satu parti, maka keputusan itu tetap boleh dikritik secara politik. Konsensus bukan bermaksud semua kelemahan struktur perlu didiamkan.

Malah, keputusan Majlis Tertinggi PN pada 16 Mei 2026 sendiri menunjukkan PN akhirnya hanya bersetuju meneroka kerjasama pilihan raya atau electoral pact, bukan menerima parti-parti berkenaan sebagai anggota penuh. Ini mengesahkan isu yang dibangkitkan Ayuni: PN sedang menjadi terlalu tertutup walaupun asalnya mahu menjadi wadah besar penyatuan Melayu-Islam.

Ketiga, Tun Faisal mempertikaikan data Ayuni bahawa kumpulan “reset” Datuk Seri Hamzah Zainudin menguasai sehingga 70 hingga 80 peratus akar umbi Bersatu di beberapa negeri. Namun beliau sendiri gagal menjawab satu fakta besar iaitu bahawa gelombang pembubaran bahagian Bersatu memang berlaku secara meluas.

Berdasarkan senarai yang dikongsikan oleh Mohamad Shafiq Abdul Halim, sebanyak 59 daripada 168 bahagian Bersatu dilaporkan telah dibubarkan, melibatkan Wilayah Persekutuan, Perak, Selangor, Johor, Sabah, Melaka dan beberapa negeri lain. Angka 59 daripada 168 bukan angka kecil. Ia mewakili kira-kira satu pertiga struktur Bahagian parti. Maka, apabila Ayuni menyebut wujud vakum kepimpinan dan gangguan akar umbi, ia bukan dakwaan kosong. Ia bersandarkan perkembangan politik yang nyata.

Keempat, Tun Faisal mendakwa program Besatu selepas pemecatan Hamzah masih mendapat sambutan lalu menyimpulkan bahawa dakwaan kelemahan akar umbi tidak benar. Ini juga hujah yang tidak kukuh. Kehadiran majlis berbuka puasa, rumah terbuka atau konvensyen parti tidak semestinya membuktikan kekuatan jentera pilihan raya.

Politik pilihan raya bukan sekadar soal kehadiran majlis, tetapi soal bilik gerakan, cawangan aktif, petugas saluran, pengundi putih, pengundi atas pagar, ejen mengundi dan ejen kiraan undi (PACA), logistik, kewangan dan disiplin gerak kerja.

Sebab itu dapatan mengenai Melaka perlu diberi perhatian. Di Kota Melaka, misalnya, dilaporkan Bersatu hampir tidak mempunyai jentera yang sempurna dan cawangan tidak tersusun. Di Alor Gajah, apabila Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik bersama kumpulan Reset, sebahagian besar jentera dan cawangan turut bergerak bersamanya.

Di Tangga Batu, walaupun kepimpinan baharu dikatakan mempunyai kekuatan kewangan, jentera masih lemah kerana kekurangan sokongan akar umbi. Di Masjid Tanah, pengaruh kepimpinan Datuk Mas Ermieyati Samsudin masih sangat kuat dan berakar di peringkat akar umbi. Justeru, apabila beliau bersama kumpulan Reset, struktur serta gerak kerja Bersatu di Masjid Tanah dilihat menjadi lumpuh dan hilang arah. Ini semua menunjukkan bahawa masalah Bersatu bukan sekadar krisis elit, tetapi krisis organisasi.

Kelima, Tun Faisal cuba mempertahankan tindakan disiplin terhadap kumpulan Hamzah dengan menyenaraikan pelbagai dakwaan kesalahan. Namun isu yang dibangkitkan Ayuni bukan semata-mata sama ada tindakan disiplin itu sah atau tidak. Isunya ialah kesan politik daripada tindakan itu. Dalam politik, sesuatu tindakan mungkin boleh dipertahankan dari sudut disiplin parti, tetapi tetap membawa kos besar terhadap kekuatan pilihan raya.

Jika pemecatan atau penggantungan menyebabkan bahagian lumpuh, akar umbi keluar parti, cawangan tidak bergerak dan Pas terpaksa menanggung kerja lapangan, maka Pas berhak bertanya apakah Bersatu masih menjadi aset kepada PN atau sudah menjadi beban?

Keenam, Tun Faisal mempertikaikan istilah “UMNO reject” dan “PKR reject”. Namun beliau sendiri mengakui komposisi Bersatu terdiri daripada bekas UMNO, bekas PKR, bekas MCA, bekas MIC dan pelbagai latar belakang lain.

Persoalan Ayuni bukan sekadar seseorang itu bekas parti mana. Persoalannya ialah kualiti, penerimaan akar umbi dan motif kemasukan mereka. Ada pemimpin yang masuk kerana prinsip, tetapi ada juga yang masuk kerana mahu tempat, jawatan dan peluang bertanding.

Jika selepas kumpulan Reset dibuang, vakum kepimpinan diisi oleh tokoh-tokoh yang tidak mempunyai akar umbi kuat, rekod bermasalah atau sekadar bergantung kepada sumber kewangan, maka kebimbangan Ayuni adalah munasabah. PN tidak boleh menang PRN Johor atau Melaka hanya dengan logo, sidang media dan poster. PN memerlukan calon yang diterima rakyat serta jentera yang hidup.

Ketujuh, Tun Faisal menuduh Ayuni tidak faham aturan organisasi kerana mengkritik keputusan PN secara terbuka. Tetapi hujah ini memakan diri Bersatu sendiri. Jika semua perkara perlu diselesaikan secara dalaman, mengapa Ketua Penerangan Bersatu sendiri menyerang seorang pensyarah kanan secara terbuka dengan bahasa seperti “profesor kangkung” dan mempertikai kelayakan akademiknya? Itu bukan budaya politik matang. Itu politik defensif yang cuba menutup kelemahan hujah dengan serangan peribadi.

Lebih penting, Ayuni bukan ahli Majlis Tertinggi PN. Beliau menulis sebagai penganalisis politik. Maka beliau berhak menilai, mengkritik dan mengemukakan pandangan berdasarkan perkembangan semasa. Tanggungjawab seorang penganalisis bukan untuk menjaga hati parti politik, tetapi membaca pola, menilai data dan memberi amaran awal terhadap risiko politik.

Kelapan, Tun Faisal gagal menjawab persoalan paling besar dalam artikel Ayuni, iaitu siapa sebenarnya yang menanggung beban jentera PN di lapangan? Dalam banyak kawasan, Pas mempunyai struktur akar umbi yang lebih tersusun, cawangan yang lebih aktif, petugas pilihan raya yang lebih ramai dan disiplin organisasi yang lebih kukuh. Bersatu pula, di banyak tempat, masih bergantung kepada tokoh, bekas pemimpin UMNO atau PKR serta kekuatan sementara yang belum tentu mampu diterjemahkan menjadi undi.

Sebab itu apabila Bersatu berkeras mahukan banyak kerusi tetapi gagal menyediakan jentera setanding, Pas secara objektifnya akan terbeban. Ini bukan soal menghina Bersatu. Ini soal realiti pilihan raya.

Kesembilan, isu ini juga perlu dilihat dalam konteks lebih luas hubungan Pas-Bersatu. Sebelum ini, Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari pernah menyatakan kebimbangan bahawa Pas mungkin tiada pilihan selain bergerak berasingan jika konflik dalaman Bersatu terus berpanjangan. Ini membuktikan keresahan terhadap Bersatu bukan hanya muncul daripada Dr Ayuni, tetapi sudah lama wujud dalam wacana dalaman dan luaran PN.

Akhirnya, kecaman Tun Faisal terhadap Dr Ayuni tidak menafikan hakikat bahawa Bersatu sedang berdepan krisis keyakinan. Membubarkan puluhan bahagian, memecat atau menggantung pemimpin, berdepan perpecahan akar umbi, menolak kemasukan parti baharu dan pada masa sama mahu terus menentukan agihan kuasa dalam PN adalah tanda sebuah parti yang sedang bergelut mempertahankan kawalan dalaman.

Tun Faisal boleh terus menyerang penulis, tetapi serangan itu tidak menjawab persoalan asas, iaitu jika Bersatu benar-benar kuat, mengapa begitu banyak bahagiannya bergolak? Jika Bersatu benar-benar inklusif, mengapa kemasukan parti Melayu-Islam lain disekat? Jika Bersatu benar-benar aset kepada PN, mengapa Pas semakin terbuka menyuarakan rasa tidak puas hati?

PRU15 menjadi bukti kukuh betapa lemahnya Bersatu dari segi jentera pilihan raya hingga ada bahagian yang tidak mahu membuka bilik gerakan dan semasa gerak kerja pilihan raya ada calon Bersatu yang cuma datang bersama empat orang sahaja.

Di sinilah Tun Faisal gagal. Beliau menjawab artikel Ayuni seolah-olah masalahnya ialah penulis tidak faham Bersatu tetapi pada hakikatnya masalah sebenar ialah semakin ramai sudah mula faham apa yang sedang berlaku dalam Bersatu.

*Dr Mohd Fuad Salleh ialah mantan pensyarah dan kini seorang penganalisis politik tempatan