Bersatu sokong calon guna lambang PN, bukan BN - Tun Faisal

LocalPolitics
1 Jul 2026 • 2:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bersatu sokong calon guna lambang PN, bukan BN - Tun Faisal
Hantaran Tun Faisal di Facebook pada Rabu.

SHAH ALAM - Pendirian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kekal pada dasar Perikatan Nasional (PN) dengan memberi sokongan kepada semua calon gabungan itu dan bukannya Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, perkara itu amat jelas berikutan tiada sebarang ketetapan rasmi telah dibuat oleh Majlis Tertinggi PN berhubung arahan sokongan kepada parti lawan atau Kerajaan Perpaduan.

"Setakat ini, tiada keputusan dasar dan ketetapan Majlis Tertinggi PN yang mengarahkan mana-mana calon yang bertanding menggunakan logo PN tidak disokong.

"Begitu juga, tiada keputusan dasar dalam Majlis Tertinggi PN yang mengarahkan sokongan diberikan kepada BN atau Kerajaan Perpaduan.

"Dasar Bersatu jelas dan konsisten iaitu menyokong semua calon yang bertanding menggunakan logo PN," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Menurut Tun Faisal, setiap parti komponen seharusnya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan kedudukan PN secara keseluruhan, selaras dengan semangat kerjasama dalam gabungan itu.

"Apabila parti-parti komponen PN turun bertanding dalam PRN Johor, matlamatnya adalah untuk memaksimumkan kemenangan PN, bukannya memenangkan parti tertentu sahaja dan menjejaskan peluang kemenangan calon PN yang lain.

"Jika ada tindakan yang menyebabkan calon PN sendiri kehilangan undi atau peluang untuk menang, itu bukan semangat sebuah gabungan, sebaliknya ia boleh dianggap sebagai satu bentuk sabotaj terhadap usaha bersama," ujarnya lagi.

Tambah beliau, PN bertanding sebagai satu entiti politik yang menggunakan satu lambang bersama dan bukannya sebagai parti yang bergerak secara berasingan.

"Sebab itu setiap calon yang menggunakan lambang PN wajar diberikan sokongan yang sama," katanya.

Sebelum ini, Pas mengeluarkan arahan kepada semua ahli dan penyokong parti itu untuk mengundi calon UMNO-BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak ditandingi PN.

PRN Johor yang berlangsung pada 11 Julai menyaksikan PN bertanding di 33 kerusi dengan Pas bertanding di 11 kerusi, Bersatu 16 kerusi, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) di lima kerusi dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) satu kerusi daripada keseluruhan 56 kawasan DUN.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved