Bersatu sukar menang PRU16 jika gerak solo

LocalPolitics
21 Aug 2026 • 8:51 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Bersatu sukar menang PRU16 jika gerak solo

KANGAR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berada dalam keadaan sukar dan mustahil untuk menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) jika memutuskan untuk bergerak solo.

Pengerusi Bersatu negeri, Abu Bakar Hamzah berkata, perkara itu hakikat yang perlu diterima oleh Bersatu dan parti itu perlu berada dalam gabungan politik. 

Katanya, Bersatu justeru itu wajar mengambil langkah untuk kembali memperbaiki hubungan antara parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN).

“Melihat kepada masa depan Bersatu, parti ini perlu mengkaji semula beberapa tindakan termasuk melibatkan isu penyingkiran ahli dan hubungan dengan parti-parti gabungan PN.

“Suasana politik memerlukan kerjasama. Suasana di sebelah selatan mungkin cara politik lain, di sebelah utara juga mungkin berbeza dan kita kena lihat dari pelbagai sudut.

“Apa yang pasti, kalau gerak solo, mustahil untuk Bersatu menang dan Bersatu mesti duduk dalam satu gabungan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Kata Menteri Besar Perlis itu, beliau tidak menolak kemungkinan pucuk pimpinan Bersatu mempunyai perancangan tersendiri dalam soal kerjasama politik atau melihat potensi lain.

“Apa pun, ia sudah pasti bergantung kepada suasana politik semasa,” katanya.

Sementara itu, Abu Bakar berkata, dalam konteks Perlis, Bersatu masih berada dalam gabungan PN selagi mana tiada sebarang keputusan dibuat oleh pucuk pimpinan tertinggi parti.

Katanya, setiap wakil rakyat Bersatu turut berpegang kepada watikah pelantikan di bawah PN dan terikat dengan Akta Lompat Parti.

“Wakil rakyat Bersatu masih terikat dengan Akta Lompat Parti dan kita akan buat keputusan berhubung masa depan selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

 

The post Bersatu sukar menang PRU16 jika gerak solo appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved