
PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mewajibkan kelab melepaskan pemain ke skuad kebangsaan biarpun sesuatu pertandingan berlangsung di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) demi menjaga maruah dan imej negara.
Pemerhati bola sepak tempatan, Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd Karim berkata, FAM berada dalam keadaan serba salah apabila perlu menghormati peraturan berkaitan kalendar FIFA, namun dalam masa sama skuad negara membawa nama dan maruah Malaysia.
Menurutnya, kekalahan Harimau Malaya dalam pertandingan yang tidak berada dalam kalendar FIFA tetap memberi kesan kepada imej negara kerana penyokong tidak akan melihat kepada status sesuatu kejohanan.
“Kalau kita kalah di Kuala Lumpur, kita kalah di Hanoi, maruah negara tetap tercalar walaupun pertandingan itu tidak berada dalam kalendar FIFA.
“Sebenarnya, kita berada dalam keadaan serba salah kerana pertandingan itu di luar kalendar FIFA, tetapi kita tetap bermain membawa maruah negara dan imej Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kegagalan skuad negara ke final Piala ASEAN 2026 selepas tumpas 0-4 secara agregat kepada Vietnam. Pada edisi kali ini, Harimau Malaya tidak dibarisi skuad utama.
Zulakbal berkata, sebagai badan induk bola sepak negara, FAM perlu memikul tanggungjawab mempertahankan imej dan maruah Malaysia dengan menggunakan segala peraturan yang ada.
Katanya, status pertandingan diluar kalendar FIFA tidak seharusnya dijadikan alasan untuk tidak memberikan skuad kebangsaan kekuatan terbaik kerana pasukan itu tetap beraksi mewakili Malaysia.
“Apabila kita bermain menentang Vietnam dan kalah, kita tetap malu. Ekonomi kita baik, pendidikan kita baik, tetapi bola sepak pula tiada jalan untuk dimajukan.
“Jadi, sudah tentu imej negara akan tercalar dan sebagai pemilik serta badan yang bertanggungjawab terhadap bola sepak negara, FAM perlu menjaga imej itu,” katanya.
Beliau berkata, langkah penguatkuasaan perlu dilakukan bagi memastikan kelab mematuhi keperluan melepaskan pemain sekiranya skuad kebangsaan memerlukan khidmat mereka.
“Untuk mengelakkan perkara ini, kita perlu kuatkuasakan. Kalau wajib, wajiblah. Dulu kalau diwajibkan dan pemain tidak hadir, ada denda, maka perlu ada ketegasan seperti itu.
“FAM perlu menjalankan semua peraturan yang ada untuk mempertahankan imej negara dan memastikan maruah Malaysia tidak tercalar,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Zulakbal turut melihat keperluan memberi lebih banyak peluang kepada pemain muda untuk membuktikan kemampuan mereka dalam skuad kebangsaan.
Katanya, pemain seperti G. Paviitran membuktikan bakat muda mampu menyerlah apabila diberi peluang, malah sebelum ini namanya tidak begitu dikenali, namun kini menjadi sebutan selepas mendapat kesempatan membuktikan kualitinya.
“Yang penting ialah peluang perlu diberikan kepada pemain muda untuk menunjukkan bakat kerana kebergantungan kepada pemain sedia ada sahaja tidak akan membawa kita jauh untuk musim-musim akan datang,” katanya.
Selepas ini, skuad negara akan beralih tumpuan kepada saingan Piala ASEAN FIFA yang bakal berlangsung dari 23 September hingga 3 Oktober di Indonesia bulan depan.
Malaysia diletakkan sekumpulan dengan tuan rumah skuad Garuda, Singapura dan Bangladesh dalam Kumpulan A, manakala Kumpulan B pula diisi Thailand, Vietnam, Filipina dan Pakistan. – UTUSAN
The post Tegas dengan kelab ‘kedekut’ lepaskan pemain appeared first on Utusan Malaysia.



