
KUALA LUMPUR: Enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memeterai Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan kerajaan, antara lain menetapkan dua reformasi utama perlu dilaksanakan Putrajaya sebagai timbal balas kepada sokongan mereka.
Enam wakil rakyat yang diketuai Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu mahu kerajaan memastikan tempoh jawatan Perdana Menteri dihadkan serta peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya diasingkan sebelum berakhir penggal pentadbiran semasa.
Sebagai balasan, enam Ahli Parlimen pembangkang berkenaan akan menyokong Belanjawan 2027.
Bersatu kini mempunyai 19 Ahli Parlimen dengan 13 daripadanya berpihak kepada Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Ketua Pembangkang.
Menurut Muhyiddin, perjanjian itu juga bertujuan memastikan urusan penting rakyat khususnya berkaitan ekonomi dan kos sara hidup dapat diteruskan dengan lebih teratur.
Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan, Bersatu akan kekal sebagai pembangkang dan meneruskan tanggungjawab melaksanakan semak dan imbang terhadap kerajaan.
“Tujuannya tidak lain tidak bukan ialah untuk mewujudkan situasi negara yang lebih stabil, untuk meneruskan urusan-urusan penting bagi rakyat terutama dalam soal ekonomi, kos sara hidup dan sebagainya.
“Perjanjian ini tidak bermakna bahawa kita lepas daripada tanggungjawab sebagai pembangkang,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen semalam.
Majlis menandatangani perjanjian itu turut dihadiri lima Ahli Parlimen Bersatu yang lain iaitu Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin (Putrajaya), Mohd. Nazri Abu Hassan (Merbok), Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah (Langkawi), Datuk Ali Biju (Saratok) dan Datuk Azman Nasrudin (Padang Serai).
Perjanjian itu disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Selain enam Ahli Parlimen Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) turut menandatangani perjanjian itu bersama enam Ahli Parlimen Bebas yang dipecat Bersatu.
Muhyiddin berkata, kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan pembangunan kepada wakil rakyat Bersatu dengan jumlah yang sama seperti diterima Ahli Parlimen kerajaan.
Bagaimanapun, beliau berkata, jumlah peruntukan itu belum dapat dipastikan tetapi dianggarkan antara RM3 juta hingga RM4 juta setahun.
Katanya, peruntukan berkenaan akan bermula pada tarikh perjanjian itu ditandatangani.
Semalam, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2027 peringkat dasar selepas dibahaskan oleh 89 Ahli Parlimen.
Pada 9 Oktober lalu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM459.8 bilion menerusi Belanjawan 2027 bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara, memperkukuh daya saing serta memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat. – UTUSAN
The post Bersatu, Syed Saddiq tandatangani CSA dengan Kerajaan Madani appeared first on Utusan Malaysia.






