CSA terbuka kepada semua Ahli Parlimen, kerajaan sedia berunding - Fahmi

LocalPolitics
30 Oct 2026 • 5:01 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

CSA terbuka kepada semua Ahli Parlimen, kerajaan sedia berunding - Fahmi

PUTRAJAYA, 30 OKT: Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) tidak terbatas kepada 13 Ahli Parlimen yang telah menandatanganinya, sebaliknya terbuka kepada mana-mana Ahli Parlimen yang berhasrat untuk mengadakan perbincangan serta memeterai perjanjian berkenaan.

Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata pemeteraian CSA antara kerajaan dengan Parti Bersatu serta Ahli-Ahli Parlimen Bebas dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini dan ia adalah perkembangan positif terhadap kestabilan politik negara.

“Ini merupakan satu perkembangan yang positif terhadap kestabilan politik negara serta mencerminkan semangat kebersamaan dalam melaksanakan beberapa usaha reformasi institusi.

“Tindakan menandatangani MoU (perjanjian persefahaman) ataupun CSA ini tidak terbatas kepada 13 orang Ahli Parlimen ini sahaja dan terbuka kepada mana-mana Ahli Parlimen yang berhasrat untuk datang, berbincang dan menandatangani CSA... jadi, pintu perbincangan itu kekal terbuka,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di sini.

Menyentuh mengenai mekanisme CSA, Fahmi berkata kerajaan melihat pendekatan penilaian bersama seperti yang pernah dilaksanakan dalam CSA 2021 hingga 2022 sebagai antara kaedah yang boleh dipertimbangkan.

“Kalau kita lihat pada mekanisme yang dibangunkan sewaktu CSA tahun 2021 hingga 2022, memang ada penilaian bersama daripada kedua-dua pihak untuk mengesahkan perkara-perkara yang telah dijanjikan itu dilaksanakan… jadi, kita lihat itu mungkin satu cara untuk kita laksanakan sama seperti apa yang pernah kita saksikan dahulu," katanya.

Fahmi juga berkata kerajaan berhasrat untuk melaksanakan setiap perkara yang dipersetujui dalam CSA terutama aspek penting melibatkan reformasi institusi.

“Jadi, kita harap dengan sokongan padu yang telah diterima, ini akan dapat kita laksanakan,” katanya.

Semalam, kerajaan memeterai CSA dengan enam Ahli Parlimen Bersatu diketuai Presiden Parti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tujuh lagi termasuk Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memaklumkan CSA, yang ditandatangani Kerajaan MADANI bersama dengan Parti Bersatu dan beberapa Ahli Parlimen pembangkang menjadi landasan penting dalam usaha memperkukuh kestabilan politik tanah air.

Anwar berkata pemeteraian perjanjian itu bertujuan memastikan kelangsungan urusan pentadbiran kerajaan selain memberikan ruang kepada agenda pembangunan negara termasuk Belanjawan 2027 dilaksanakan secara berkesan demi kepentingan rakyat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved