Bersedia cuaca panas, gelombang haba ekstrem tahun ini

LocalEnvironment
9 Aug 2026 • 9:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bersedia cuaca panas, gelombang haba ekstrem tahun ini

PETALING JAYA – Orang ramai diminta berwaspada terhadap risiko cuaca panas dan gelombang haba lebih ekstrem tahun ini susulan fenomena Super El Nino yang semakin kuat.

Ketua Pengarah Jabatan Meteo­rologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, keadaan iklim itu juga dijangka mencapai kemuncak pada penghujung tahun hingga awal tahun depan.

Jelas beliau, kehadiran Super El Nino kuat berpotensi mening­katkan suhu maksimum harian sehingga 0.7 darjah Celsius berbanding suhu kebiasaan.

Malah katanya, keadaan itu diburukkan lagi dengan isu pemanasan global yang semakin ketara sejak kebelakangan ini, sekali gus meningkatkan risiko berlakunya cuaca panas melampau.

“Berdasarkan analisis kami, kehadiran Super El Nino kuat boleh meningkatkan bacaan suhu maksimum harian sehingga 0.7 darjah Celsius lebih tinggi berbanding hari sebelum ini,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.

Terdahulu di media sosial, orang ramai merungut mengenai cuaca panas melampau di beberapa negeri terutama di Selangor.

Antara rungutan pengguna media sosial adalah cuaca panas itu tetap dirasai dalam kediaman walaupun sudah dipasang menyaman udara.

Mohd. Hisham berkata, berdasarkan rekod pencerapan iklim negara, suhu maksimum harian lazimnya mencatat bacaan lebih tinggi bermula penghujung musim Monsun Timur Laut (MTL) sehingga awal musim Monsun Barat Daya (MBD).

Menurut beliau, keadaan tersebut biasanya berlaku antara Februari hingga Jun setiap tahun, terutama di negeri-negeri utara Semenanjung serta kawasan pedalaman Perak, Kelantan, Pahang, Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, Mohd. Hisham berkata, fenomena Super El Nino turut dijangka memberi kesan terhadap taburan hujan negara ketika MTL 2026/2027 yang berlaku antara November hingga Mac depan.

“Bagaimanapun, kejadian MTL masih akan berlaku antara November dan Mac pada kali ini, tetapi dengan taburan hujan yang berkurangan di sebahagian negeri,” katanya.

Tambah beliau, berdasarkan ramalan terkini, kebanyakan negeri dijangka menerima taburan hujan pada paras purata sepanjang MTL 2026/2027.

Bagaimanapun, timur Sabah serta negeri-negeri di utara Semenanjung berpotensi menerima taburan hujan lebih rendah berbanding nilai purata bermula penghujung tahun ini.

Mengulas keadaan cuaca di Pantai Timur dan barat Sabah yang ketika ini masih kerap menerima hujan serta ribut petir pada sebelah petang, Mohd. Hisham berkata, keadaan tersebut hanya bersifat sementara.

“Keadaan itu berlaku berikutan perubahan corak tiupan angin dan pergerakan udara lembap yang banyak tertumpu di kawasan terbabit.

“Namun, cuaca ini dijangka berubah kepada keadaan lebih kering dan panas di kebanyakan tempat di seluruh negara susulan angin MBD yang kembali aktif serta kurangnya pergerakan udara lembap ke negara kita sehingga penghujung minggu hadapan,” katanya.

The post Bersedia cuaca panas, gelombang haba ekstrem tahun ini appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved