Bersedia gaji minimum RM2,000 tahun depan

LocalBusiness & Finance
21 Oct 2026 • 9:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bersedia gaji minimum RM2,000 tahun depan

TEMPOH tujuh bulan sebelum pelaksanaan gaji minimum RM2,000 sebulan perlu dimanfaatkan majikan sebaiknya untuk menyusun semula struktur gaji, menilai kemampuan kewangan dan merancang operasi.

Kadar gaji minimum baharu yang akan berkuat kuasa pada 1 Jun 2027 itu dijangka memberi manfaat kepada lebih empat juta pekerja di negara ini.

Kenaikan itu bukan sekadar tambahan RM300 kepada pekerja bergaji minimum kerana majikan perlu melihat kesannya terhadap keseluruhan struktur gaji.

Apabila lantai gaji dinaikkan, syarikat perlu menilai semula jurang antara pekerja baharu dan berpengalaman selain mengambil kira caruman berkaitan, kos operasi serta kemampuan untuk mengekalkan daya saing.

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) melihat tempoh sehingga Jun 2027 sebagai ruang penting untuk majikan membuat persediaan.

Penasihat Kanan MEF bagi Kerajaan, Media dan Hubungan Antarabangsa, Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, tempoh peralihan itu membolehkan syarikat bersiap sedia dan menilai implikasi kewangan masing-masing.

“Kita perlu memastikan gaji yang lebih tinggi diterjemah kepada kehidupan yang lebih baik, bukan peluang pekerjaan yang lebih sedikit.

“Objektif sepatutnya untuk meningkatkan pendapatan pekerja secara lestari, sambil membolehkan perniagaan kekal berdaya saing, meneruskan pengambilan pekerja dan melabur dalam produktiviti,” katanya.

Justeru, antara tindakan penting yang perlu dilakukan termasuk menyediakan ‘Belanjawan 2027’ sendiri, kenal pasti jawatan yang perlu disemak semula dan mencari ruang meningkatkan produktiviti menerusi automasi, pendigitalan, latihan kemahiran dan penstrukturan proses kerja.

“Majikan juga perlu mula berkomunikasi dengan pekerja soal kenaikan gaji, termasuk mereka yang tidak menerima impak secara langsung,” ujarnya.

Ketika perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan tahunan bawah RM50 juta diberi pengecualian, ini tidak bermakna mereka bebas tekanan pasaran buruh.

Majikan yang menawarkan gaji lebih rendah pastinya berdepan saingan mendapatkan pekerja daripada syarikat lebih besar yang menawarkan gaji lebih tinggi.

Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia pula mengingatkan cadangan gaji minimum RM2,500 bagi pekerjaan separa mahir dan graduan perlu mengambil kira keadaan pasaran.

Persatuan itu mahu struktur yang berasaskan kepada keperluan pekerjaan, kompetensi dan produktiviti, terutama apabila majikan berdepan ketidakpadanan kemahiran yang mungkin menyebabkan mereka perlu menanggung kos gaji lebih tinggi dan pada masa sama, membiayai latihan tambahan.

Keberkesanan gaji minimum baharu bukan hanya bergantung kepada angka, tetapi sejauh mana majikan mampu menyesuaikan perniagaan dengan perubahan.

Pekerja memerlukan gaji yang lebih baik untuk berdepan kos sara hidup, manakala majikan memerlukan ruang untuk terus berkembang dan menyediakan pekerjaan.

Majikan yang sudah mula merancang, mengira, menyusun dan meningkatkan produktiviti sekarang akan mempunyai lebih banyak pilihan apabila kadar baharu itu benar-benar dilaksanakan.

The post Bersedia gaji minimum RM2,000 tahun depan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved