PMKS jualan bawah RM50 juta dikecualikan kenaikan gaji minimum

LocalBusiness & Finance
16 Oct 2026 • 5:31 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: PMKS jualan bawah RM50 juta dikecualikan kenaikan gaji minimum

PUTRAJAYA – Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan bawah RM50 juta dikecualikan daripada pelaksanaan kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan yang akan berkuat kuasa mulai Jun 2027.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, pengecualian itu diberikan bagi memberi ruang penyesuaian kepada perusahaan berkaitan, susulan pengumuman kenaikan gaji minimum dalam Belanjawan Madani 2027.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mengumumkan peningkatan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan bermula Jun 2027 yang memanfaatkan lebih empat juta pekerja, namun saya ingin tegaskan PMKS hasil jualan bawah RM50 juta dikecualikan bagi memberi ruang penyesuaian.

“Keseluruhan inisiatif ini memperlihatkan satu hala tuju yang jelas di bawah kepimpinan Perdana Menteri iaitu membina tenaga kerja Malaysia yang lebih berkemahiran, berpendapatan tinggi dan dilindungi, seiring dengan aspirasi negara menuju ekonomi bernilai tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Taklimat Garis Panduan Gaji Pokok Permulaan Berdasarkan Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) sedang memperincikan mekanisme pemantauan pembayaran gaji pekerja menerusi modul e-wages bagi memudahkan dan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang perburuhan.

Jelasnya, mekanisme itu bertujuan memastikan pembayaran gaji dibuat mengikut kaedah dan tempoh yang ditetapkan di bawah Akta Kerja 1955, selain berdasarkan kadar yang dipersetujui dalam kontrak perkhidmatan termasuk elaun, insentif dan bonus.

“Pelaksanaan e-wages juga bertujuan mengurangkan isu gaji tidak dibayar, pembayaran lewat serta pembayaran pada kadar yang tidak tepat atau di bawah kadar gaji minimum.

“Mekanisme e-wages ini akan dicadangkan untuk merangkumi semua pekerja, termasuk pekerja bukan warganegara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

The post PMKS jualan bawah RM50 juta dikecualikan kenaikan gaji minimum appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved