Bersedia hadapi krisis tenaga berpanjangan, beri keutamaan soal keselamatan makanan - Ahli Ekonomi

LocalBusiness & Finance
21 Apr 2026 • 6:09 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bersedia hadapi krisis tenaga berpanjangan, beri keutamaan soal keselamatan makanan - Ahli Ekonomi Image from: Bersedia hadapi krisis tenaga berpanjangan, beri keutamaan soal keselamatan makanan - Ahli Ekonomi hamden21/04/2026 - 18:09 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 April - Malaysia perlu bersiap sedia menghadapi krisis tenaga global yang dijangka berpanjangan dengan memberi tumpuan serius terhadap isu keselamatan makanan negara, kata ahli ekonomi.

 

Pengerusi Khazanah Research Institute, Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata, walaupun bekalan bahan api negara dijangka mencukupi sehingga sekitar Jun, cabaran utama ketika ini ialah memastikan kestabilan bekalan makanan di samping jaminan tenaga jangka panjang.

 

“Walaupun konflik berhenti esok, keadaan bekalan tidak akan kembali normal serta-merta. Gangguan harga dan rantaian bekalan boleh berterusan sepanjang tahun,” katanya ketika ditemui di luar sebuah forum ekonomi di ibu negara.

 

Beliau menambah tanda-tanda awal pada Mac menunjukkan ekonomi Malaysia mula terkesan, termasuk pertumbuhan lebih perlahan serta prestasi eksport yang lemah akibat ketegangan geopolitik dan permintaan global yang merosot.

 

Menurut beliau lagi, harga minyak mentah global yang masih tinggi berbanding paras sebelum konflik serta melebihi andaian AS$65 setong dalam Belanjawan 2026 akan terus memberi tekanan kepada fiskal dan kelestarian subsidi negara.

 

“Isu inflasi, kekurangan bekalan dan kesan rantaian terhadap barangan asas perlu diberi perhatian segera,” katanya.

 

Malaysia dilihat masih bergantung kepada import bagi beberapa makanan asas termasuk beras, sayur-sayuran tertentu, buah-buahan dan daging lembu, walaupun mempunyai tahap sara diri tinggi bagi beberapa komoditi lain seperti ayam dan buah tropika.

 

Dalam pada itu, Nungsari berkata keutamaan kerajaan ketika ini adalah memperkukuh rizab makanan asas serta mempelbagaikan sumber import bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan.

 

Beliau turut menekankan hubungan rapat antara tenaga dan makanan, di mana sebarang gangguan bekalan tenaga akan memberi kesan langsung kepada sektor pengangkutan dan pertanian.

 

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata Malaysia perlu mengubah pendekatan daripada hanya menumpukan kepada harga bahan api kepada pengurusan bekalan serta pengurangan penggunaan tenaga.

 

Beliau menggesa pembentukan “kesedaran nasional” seperti ketika pandemik Covid-19 bagi memastikan penggunaan tenaga dapat dikawal secara kolektif.

 

“Jika penggunaan dapat dikurangkan bersama, bekalan sedia ada boleh dipanjangkan sehingga lebih lama, mungkin melepasi Julai,” katanya.

 

Bagaimanapun, beliau mengakui Malaysia masih berada dalam kedudukan relatif selesa dengan bekalan bahan api mencukupi untuk beberapa bulan, namun memberi amaran bahawa tekanan krisis berpotensi berlarutan antara 12 hingga 24 bulan.

 

Dalam masa sama, Chin Tong berkata Malaysia perlu mempercepatkan peralihan tenaga melalui pelaburan dalam kenderaan elektrik, tenaga alternatif dan sistem pengangkutan lebih cekap, selain mengelakkan perluasan subsidi bahan api.

 

Beliau turut menegaskan kepentingan memperkukuh rantaian bekalan domestik dengan memanfaatkan keupayaan industri tempatan, termasuk sektor pembuatan dan kitar semula, bagi mengurangkan kebergantungan kepada import. - DagangNews.com

Terkini featured standard
View Original Article