
DI sebalik wajah ceria dan mudah seorang ibu bernama, tersimpan perjalanan panjang yang sarat dengan ujian, harapan dan doa yang tidak pernah putus.
Itulah sisi yang jarang dikongsi oleh pelakon dan penyanyi yang juga seorang ibu yang melalui fasa menerima anak istimewa dengan penuh kekuatan.
Ramai mungkin tidak mengetahui, anak lelakinya, Muhammad Adam disahkan berada dalam spektrum autisme tahap dua.
Namun bagi Azza, segalanya bermula dengan tanda-tanda kecil yang pada awalnya sukar diterima.
Seperti kebanyakan ibu lain, Azza juga melalui fasa penafian, satu keadaan yang sukar dielakkan apabila hati masih berharap semuanya baik-baik sahaja.

“Awal-awal saya tak nampak. Waktu dia dua tahun, dia suka flap hand tau. Lepas tu bila saya cakap dengan dia, dia tak ada eye contact langsung.
"Saya panggil ‘Adam, Adam’… tapi dia tak respon. Tapi masa tu saya in denial lagi. As a mother, saya rasa anak saya normal," ujar Azza ketika ditemu bual bersama SinarPlus menerusi live baru-baru ini.
Penafian itu bukan datang daripada ego, tetapi daripada naluri seorang ibu yang mahu melihat anaknya membesar seperti kanak-kanak lain. Namun, masa demi masa, realiti mula menampakkan diri.
“Bila saya bawa pergi check up, doktor tak boleh confirm lagi sebab dia masih kecil.
"Doktor kata kena bagi masa. Okeylah… lama-lama kan, makin besar kita nampak," jelasnya.
Perlahan-lahan perubahan itu bertukar menjadi persoalan apabila perkembangan Adam dilihat berbeza.
Walaupun bijak dan cepat menangkap sesuatu, komunikasi menjadi cabaran utama.
“Dia boleh hafal ABC, DEFG semua dia okey. Dia cepat tangkap. Tapi dia tak ada words. Contoh nak susu, dia tak cakap.
"Dia ambil botol, dia bagi kita. Dia tak ada komunikasi dengan orang," dedah Azza atau nama sebenarnya, Noor Azzarima binti Zawari.
Menurutnya lagi, Adam bukanlah seorang yang suka menyendiri. Malah, dia tetap bermain seperti kanak-kanak lain, namun interaksi sosialnya terbatas.
“Dia tak adalah kata nak bersendiri. Walaupun sepupu dia datang pun, dia main je. Cuma dia tidak ada komunikasi. Dia tak cakap," dedah Azza lagi,
penggunaan gajet
Dalam masa sama, ibu tabah tersebut turut mengakui faktor penggunaan gajet memberi kesan terhadap perkembangan anak.
“One thing lah, saya rasa pasal handphone pun. Screen time tu penting tau. Kita kena jaga.
"Jangan terlalu banyak bagi, nanti dia tak bercakap dengan orang," ungkapnya lagi.
Dia yang merupakan anggota penyanyi Kumpulan Elite berkongsi lagi, perkembangan dalam diri si anak rupanya sudah disedari oleh suaminya terlebih dahulu yang menyuarakan kebimbangan melihat keadaan tersebut.

“Actually suami saya yang dapat tahu dulu. Dia cakap, ‘I think Adam is autism tau.’Saya cakap tak… ini dia kecil lagi. Namun selepas melalui pemeriksaan dan pemerhatian berterusan, akhirnya hakikat itu perlu kami terima.
“Saya hantar dia play school, dari situ saya dapat tahu anak saya autism. Masa tu level 2. Kita ada macam assessment… bila suruh dia fokus, dia less focus.
"Bila suruh lukis garisan, dia boleh ikut, tapi tiba-tiba dia buat lain. Dari situ kita dah nampak," cerita Azza dengan nada sebak.
Sebagai ibu, wanita berusia 48 tahun itu tidak menafikan hatinya pernah sarat dengan impian yang mungkin tidak kesampaian.
“Saya nak anak saya normal… saya nak masukkan dia ke sekolah tahfiz. Namun takdir ALLAH SWT mengajar saya erti reda dan menerima dengan hati yang terbuka.
“Kena kuat lah, kena kuat semangat. Lama-lama saya harus menerima keadaan daripada ALLAH.
"Saya ambil masa bertahun untuk terima Adam special macam tu. Tapi dia memang sangat special… sangat special dekat rumah," ujarnya lagi.
Bertahun tunggu panggil 'mummy'
Di sebalik perjalanan yang penuh cabaran itu, hadir satu momen yang menjadi titik paling bermakna dalam hidupnya sebagai seorang ibu, saat yang ditunggu bertahun lamanya.
“Saya tunggu anak saya nak panggil saya ‘mummy’. Bertahun saya tunggu…”
“Umur dia dalam lima ke enam tahun macam tu, baru dia boleh sebut proper word ‘mummy’, ‘sayang mummy’. Kalau kita tanya ‘siapa sayang mummy’, dia jawab ‘Adam'.
"Itu pun dah besar rahmat dah untuk saya dan detik itu menjadi satu rasa yang sukar digambarkan," ujar Azza yang tidak dapat menahan sebak tatkala bercerita mengenai anak kesayangannya itu.
Tambahnya lagi, setiap perkataan yang keluar dari mulut anaknya membawa makna yang sangat besar.
“Satu patah perkataan tu dia macam bagi erti yang… terlalu istimewa.
'Saya nak dengar suara dia. Bila dia boleh cakap tu, saya rasa macam… bless sangat. Saya sangat bersyukur," ungkapnya.

Malah, kegembiraan itu tidak mampu disembunyikan meskipun ia mungkin kelihatan kecil di mata orang lain.
“Saya tak tahu nak cakap, dia punya gembira tu macam terlalu happy. Sebab kita tunggu lama… bertahun-tahun," ujarnya lagi.
Dalam masa sama, anak kelahiran Kedah itu tetap merendah diri dan mengakui masih ramai ibu bapa lain yang melalui cabaran lebih besar.
“Saya rasa macam ramai lagi ibu-ibu yang mempunyai anak autism yang lebih hebat daripada saya.
"Anak saya dapat bercakap pun saya dah rasa satu rahmat yang besar," ujar Azza yang mengakui tidak semua impian hadir seperti yang dirancang, namun setiap ujian membawa hikmah yang tersendiri.
Dan bagi Azza, satu panggilan mummy sudah cukup untuk mengubat segala penat lelah yang pernah dilalui, satu bukti bahawa kasih seorang ibu tidak pernah meminta balasan, kecuali sekeping rasa yang dipanggil syukur.




