'Hantaran ke bantuan ibu tunggal' – Bella Astilah akui terharu pemberian 'rare' Syed Saddiq, buka mata soal masa depan anak

LocalFamily & Parenting
21 Apr 2026 • 3:25 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: 'Hantaran ke bantuan ibu tunggal' – Bella Astilah akui terharu pemberian 'rare' Syed Saddiq, buka mata soal masa depan anak

BUKAN semua kekuatan itu perlu ditunjukkan di depan khalayak.

Ada waktunya, ia hadir dalam diam dalam bentuk tanggungjawab, kerisauan dan usaha yang tak pernah berhenti.

Itulah sisi sebenar anak seni bernama Bella Astillah yang jarang dilihat, jauh daripada sorotan kamera.

Di sebalik senyuman dan kerjaya seni yang terus berkembang, pemilik nama sebenar, Dayang Ara Nabellah binti Awang Astillah mengakui dirinya tidak pernah lari daripada rasa risau, terutama apabila menyentuh soal keluarga dan masa depan anak-anak.

“Sebenarnya, bila kamera ditutup saya hanya seorang perempuan biasa. Seorang ibu yang risaukan masa depan anak-anak.

"Dan seorang anak yang masih memerlukan doa kedua-dua ibu bapa.

"Malah, saya juga seorang insan yang cuba ingin jadi lebih baik dari semalam,” luahnya dalam satu temu bual baru-baru ini.

Pengakuan itu bukan sekadar kata-kata, tetapi menggambarkan realiti sebenar kehidupan, bahawa di sebalik kejayaan, tetap ada sisi manusiawi yang penuh dengan kegusaran dan harapan.

Image from: 'Hantaran ke bantuan ibu tunggal' – Bella Astilah akui terharu pemberian 'rare' Syed Saddiq, buka mata soal masa depan anak

Anak jati Sabah itu tidak menafikan, seperti wanita lain, dia juga dihimpit pelbagai kerisauan. Namun, kehadiran anak-anak mengubah cara dia melihat kehidupan secara keseluruhan.

“Of course saya sama je macam orang biasa yang lain. Banyak kerisauan.

"Tapi apa yang saya boleh sampaikan dekat sini. Bila dah ada keluarga. Macam anak-anak, saya mula nampak sebenarnya kita hidup bukan sahaja memikirkan tentang apa yang dah jadi. Tapi lebih kepada bersedia untuk masa depan," ujarnya.

Justeru, dari situlah, lahir satu kesedaran yang semakin kuat dalam dirinya bahawa hidup bukan sekadar menikmati hari ini, tetapi merancang untuk hari esok yang belum pasti.

“Bila kita cakap pasal bersedia untuk masa depan. Of course kita nak yang terbaik untuk keluarga kita. Inilah yang setiap hari saya selalu cakap dengan diri sendiri.

"Apa yang saya buat hari ini. Sebenarnya untuk kebaikan dan masa depan anak-anak saya," ungkap wanita berusia 32 tahun itu lagi.

Kata-kata itu cukup menggambarkan prinsip yang dipegang Bella kini.

Setiap langkah, setiap keputusan, semuanya berakar daripada tanggungjawab sebagai seorang ibu.

Malah, apabila ditanya tentang keletihan menjalani rutin padat sebagai anak seni, Bella melihatnya dari sudut yang berbeza.

Image from: 'Hantaran ke bantuan ibu tunggal' – Bella Astilah akui terharu pemberian 'rare' Syed Saddiq, buka mata soal masa depan anak

“Eh, Bella tak penat ke? Tak penat ke? But to me. Kita ini hidup cuma sekali. Takkanlah sampai bila-bila kita nak hidup bersuka-ria kan.

"Of course kita nak bahagia. Tapi bahagia yang saya cakap ni sebenarnya bukan yang cakap suka-ria tu. Ia lebih kepada ketenangan," tegasnya.

Dalam erti kata lain, kebahagiaan yang dicari bukan lagi sekadar keseronokan sementara, tetapi ketenangan yang datang daripada rasa cukup dari segi persediaan, cukup dari segi tanggungjawab.

“Macam mana kita nak tenang, jadi saya rasa kena cukup banyak persediaan untuk masa depan anak-anak. Jadi bila orang cakap saya ni nyanyi, berlakon. Tak, saya pun sama macam semua ibu di luar sana.

"Saya juga risau tentang macam mana dengan anak-anak punya masa depan. In terms of diorang punya saving. Diorang punya duit untuk pendidikan," jelasnya lagi dengan panjang lebar.

Hantaran atau bantuan ibu tunggal

Perkongsian itu secara tidak langsung membuka mata bahawa di sebalik kerjaya glamor, isu kewangan dan masa depan anak tetap menjadi keutamaan, seperti mana ibu-ibu lain yang berusaha memberikan yang terbaik buat keluarga.

Menariknya, apabila menyentuh tentang masa depan, Bella turut berkongsi satu momen melucukan namun cukup bermakna dalam hidupnya, iaitu pemberian hantaran daripada tunangnya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang boleh dianggap luar biasa dan penuh makna.

“Alhamdulillah. Masa majlis pertunangan, YB berikan saya hantaran SSBN.

"Sebenarnya memang tak terfikir, saya terkejut sebenarnya. Bila dia beritahu hantaran saya begitu. So, hantaran saya padanya macam biasalah ada coklat, makanan kucing, kan.

"Sampai kat dia (YB), ‘Oh, tapi I punya lain. Apa tu? Saya ada nak bagi SSBN untuk Aiden dan Ara. Seorang satu.

"Lepas tu saya nak bagi tabung haji. Bila dia cakap okay. Lepas tu saya nak bagi ASB. Jadi, saya rasa macam, ini nak bagi hantaran ke nak bagi bantuan. Kan? Bagi bantuan ibu tunggal ke apa, kan? Saya cakap begitu ke YB," dedah Bella sambil tertawa.

Image from: 'Hantaran ke bantuan ibu tunggal' – Bella Astilah akui terharu pemberian 'rare' Syed Saddiq, buka mata soal masa depan anak

Dalam nada berseloroh, Bella mengakui dirinya terkejut dengan pendekatan tersebut, namun di situlah terselit nilai yang lebih besar daripada sekadar simbolik pertunangan.

“Aduh YB ni. Takpe betul juga. Saya pun rakyat juga, kan. Tapi mungkin sebab tu lah. Dia prihatin ye. Saya kan ada dua orang anak," ujarnya sambil berseloroh.

Pun begitu, ibu kepada Mohamed Ayden Adrean dan Ara Adreanna mengakui di sebalik pemberian itu ada makna yang tidak disedari.

" Alhamdulillah. Mungkin dia sedikit sebanyak macam membuka lagi mata saya, "Oh rupanya memang sangat penting. Kadang-kadang kita tak nampak.

"Apa yang diberikan bukan sekadar hadiah, tetapi satu bentuk kesedaran tentang pentingnya simpanan, perancangan dan jaminan masa depan, khususnya buat anak-anak.

“Mungkin sebab sekarang kita berada di zon selesa. Tapi banyak kemungkinan yang boleh berlaku dalam kehidupan kita," ungkap Bella penuh makna.