
KUALA LUMPUR - Pakatan Harapan (PH) Johor secara terbuka mempersoalkan keputusan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada gabungan itu mahu meraih manfaat politik daripada kejayaan kerajaan perpaduan tanpa meneruskan kerjasama ketika musim pilihan raya.
Dalam kenyataan bersama dikeluarkan Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; serta Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching, PH Johor memaklumkan, mereka menghormati keputusan BN negeru itu untuk meletakkan calon di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Bagaimanapun mereka menegaskan, kestabilan politik dan kemajuan ekonomi yang dinikmati Johor ketika ini bukan dicapai secara bersendirian oleh BN.
“Dalam sebuah demokrasi yang matang, parti-parti politik bebas menentukan sama ada mahu bekerjasama atau bersaing dengan mana-mana parti.
“Oleh itu, PH Johor menghormati keputusan BN Johor untuk bertanding secara solo di semua 56 kerusi DUN. Kami akan mengadakan perbincangan lanjut bersama kepimpinan pusat bagi menentukan tindakan selanjutnya,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan tersebut dibuat sehari selepas Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi BN negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mengesahkan bahawa BN akan bertanding di semua kerusi DUN pada PRN akan datang, selepas mengadakan perbincangan dengan kepimpinan akar umbi UMNO dan BN negeri.
Dalam pada itu, PH Johor menegaskan, banyak kejayaan dan pencapaian negeri kebelakangan ini hanya dapat direalisasikan menerusi kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan di bawah kerangka kerajaan perpaduan.
Menurut mereka, antara contoh paling ketara ialah usaha menangani kesesakan di Bangunan Sultan Iskandar (CIQ) dan Tambak Johor yang melibatkan kerjasama pelbagai kementerian Persekutuan bersama kerajaan negeri.
Selain itu, projek perkhidmatan rel ETS ke Johor Bahru, kemasukan pelaburan strategik menerusi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta agensi Persekutuan, pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), dan penambahbaikan kemudahan awam serta infrastruktur negeri turut disifatkan sebagai hasil kerjasama kedua-dua pihak.
Justeru, PH Johor berpandangan, rakyat berhak mempersoalkan sama ada BN cuba mengambil kredit politik secara bersendirian terhadap pelbagai inisiatif yang sebenarnya dilaksanakan secara kolektif melalui kerajaan perpaduan.
“Rakyat berhak mempersoalkan sama ada BN hanya mahu meraih keuntungan politik daripada kerjasama dalam kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan, namun pada masa sama memilih untuk menjauhkan diri apabila tibanya musim pilihan raya,” menurut kenyataan itu lagi.
Walaupun mengkritik keputusan berkenaan, PH Johor tetap menghargai tindakan BN negeri terbabit yang bertindak awal mengumumkan pendirian mereka sebelum PRN berlangsung.
“Apa pun keadaannya, PH Johor mengambil maklum pendirian yang dinyatakan secara terbuka oleh BN Johor.
“Sekurang-kurangnya, BN Johor telah menjelaskan lebih awal hasrat untuk memasuki gelanggang pilihan raya secara bersendirian, tidak seperti apa yang berlaku baru-baru ini di Negeri Sembilan,” katanya.
‘Perbalahan’ antara kedua-dua gabungan itu dilihat sebagai petanda paling jelas setakat ini mengenai ketegangan yang semakin memuncak antara BN dan PH di peringkat negeri, meskipun kedua-duanya masih saling bergantung dalam memastikan kelangsungan pentadbiran kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan. - Getaran, 17 Mei 2026






