Bertemu jodoh selepas 23 tahun

7 Nov 2026 • 2:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bertemu jodoh selepas 23 tahun
Sharafuddin dan Norliana diraikan selepas acara akad nikah di Masjid Al-Watiqu Billah, Bandar Baru Kuala Nerus, sempena majlis Walimatulurus Perdana 2026 peringkat negeri Terengganu pada Sabtu.
Image from: Bertemu jodoh selepas 23 tahun
Sharafuddin dan Norliana menunjukkan surat perakuan perkahwinan selepas acara akad nikah di Masjid Al-Watiqu Billah, Bandar Baru Kuala Nerus pada Sabtu.

KUALA NERUS - Pasangan pengantin tidak menyangka pertemuan semula selepas lebih dua dekad terpisah akhirnya membawa mereka ke jenjang pelamin pada majlis Walimatulurus Perdana 2026 peringkat negeri Terengganu di Masjid Al-Watiqu Billah, Bandar Baru Kuala Nerus, di sini, pada Sabtu.

​Norliana Yahya, 45, dari Kampung Gong Kiat, Kuala Terengganu yang bekerja sendiri dan mempunyai dua anak berusia 15 serta 11 tahun, mendirikan rumah tangga buat kali ketiga.

​Pasangannya, Sharafuddin Mohamed, 59, dari Kampung Nibung yang merupakan pesara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), berkahwin buat kali kedua selepas kematian isteri pada 2025 dan mempunyai lima anak berusia antara 28 hingga 37 tahun.

​Menurut Norliana, mereka mula berkenalan pada 2003 ketika beliau menjalani latihan praktikal di MBKT, tempat Sharafuddin bertugas sebelum bersara, sebelum hubungan itu kembali terjalin pada penghujung tahun 2025.

​Pasangan itu selesai menjalankan akad nikah pada jam 9 pagi tadi berkata, penyertaan dalam program anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) itu banyak membantu menjimatkan kos persiapan.

​"Kami hanya perlu menyediakan komitmen sebanyak RM1,000 untuk menyertai program ini, selain merancang mengadakan kenduri arwah selepas ini bagi meraikan perkahwinan bersama keluarga dan kenalan," kata Norliana.

**media[3703255]**

​Majlis berkenaan dirasmikan Yang Dipertua (YDP) Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Mohd Nor Hamzah yang mewakili Menteri Besar.

Turut hadir ialah Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim dan Pengarah YPKT Wan Muhd Masyhum Wan Harujan.

​Sementara itu, bagi pasangan muda Muhamad Khairul Ikhwa Muhammad Kamluddin, 21, seorang tukang cat rumah, dan pasangannya, Puteri Nurul Syazana Ramlan, 21, dari Kuala Ibai, penyertaan dalam majlis pernikahan beramai-ramai itu amat membantu mengurangkan beban kewangan serta membolehkan mereka memulakan kehidupan berumah tangga dengan lebih teratur.

"Kami bersyukur sangat sebab dapat rezeki menunaikan perkahwinan dalam majlis ini sebab ia banyak sangat bantu jimatkan berlanja lebih-lebih lagi bagi pengantin muda yang ekonominya masih belum stabil," katanya.

​Secara keseluruhan, seramai 59 pasangan dari Kuala Nerus dan Kuala Terengganu melangsungkan pernikahan menerusi program berkenaan, yang turut menawarkan pelbagai kemudahan termasuk khidmat jurunikah, urusan dokumen yang ditanggung, jurugambar, cenderahati tetamu, serta kursus percuma kendalian YPKT.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved