
Bertindak Bersama, Bukan Menuding Jari Dalam Isu Sosial Remaja – Nancy
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, menzahirkan rasa sedih dan kebimbangan terhadap tragedi yang menimpa dua remaja baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan, beliau menyeru seluruh masyarakat agar menjadikan insiden tersebut sebagai peringatan untuk bertindak bersama, bukan sekadar mencari salah pihak lain.
Menurut beliau, kejadian yang meragut nyawa dan masa depan dua remaja itu bukan sekadar kes terpencil.
“Ia mencerminkan cabaran nilai dan tekanan sosial yang sedang dihadapi oleh anak-anak kita hari ini, di rumah, di sekolah, dan juga di dunia digital yang tanpa sempadan,” kata beliau.
Nancy bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri yang menekankan peranan media sosial serta keperluan tindakan tegas kerajaan.
“Namun pada masa yang sama, kita juga harus mengimbangi ketegasan dengan empati, memahami bahawa punca kepada isu ini bukan hanya soal disiplin atau teknologi, tetapi juga soal bimbingan, komunikasi dan kasih dalam keluarga serta komuniti sekolah.
“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) percaya bahawa keluarga dan sekolah perlu bergerak seiring memandangkan anak-anak memerlukan kedua-dua institusi ini untuk menjadi benteng kasih sayang dan panduan nilai mereka,” jelas beliau.
Nancy turut menegaskan bahawa KPWKM komited memperkukuh penyampaian perkhidmatan bagi membantu keluarga menghadapi cabaran baharu dalam era moden.
Bagaimanapun, beliau mengakui usaha itu tidak dapat dijayakan oleh kerajaan semata-mata.
“Dengan cabaran baru yang dihadapi oleh ibu bapa dan kanak-kanak pada hari ini, kami di KPWKM tidak akan berhenti untuk terus berusaha menambahbaik penyampaian perkhidmatan kami.
“Namun, kami tidak mampu untuk bergerak sendirian kerana menangani cabaran ini memerlukan semua pihak untuk memainkan peranan masing-masing, bukan sahaja memperkukuh dasar dan program, tetapi juga menyokong institusi keluarga dan komuniti melalui pendekatan yang lebih empatik,” tambah beliau.
Dalam pada itu, beliau mengajak semua pihak, termasuk ibu bapa, guru, masyarakat dan kerajaan, untuk menjadikan tragedi ini sebagai panggilan bertindak bersama.
“Menuding jari tidak akan menyelesaikan masalah. Apa yang diperlukan adalah kasih sayang, keprihatinan dan tindakan bersama demi melindungi dan membimbing generasi muda kita,” tambahnya lagi.
Sumber: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM)
The post Bertindak Bersama, Bukan Menuding Jari Dalam Isu Sosial Remaja – Nancy appeared first on Siakap Keli.




