
8 Kawasan Ini Patut 100% Bebas Rokok, Vape dan Alkohol
Dalam dunia yang semakin moden dan terbuka, isu penggunaan rokok, vape dan alkohol sering dipandang sebagai soal pilihan peribadi.
Namun apabila ia berlaku di ruang awam atau kawasan yang menjadi tumpuan masyarakat, ia bukan lagi sekadar hak individu.
Ia menyentuh soal tanggungjawab sosial, keselamatan, kesihatan awam serta imej dan nilai yang kita ingin bentuk sebagai sebuah masyarakat.
Lebih membimbangkan apabila pendedahan kepada bahan-bahan ini berlaku di tempat awam yang sepatutnya selamat seperti sekolah, fasiliti kesihatan atau majlis rasmi kerajaan.
Ia secara tidak langsung menormalisasikan sesuatu yang berisiko kepada kesihatan.
Baru-baru ini, Public Health Malaysia turut berkongsi melalui laman FBnya tentang kepentingan mewujudkan zon larangan alkohol, rokok dan vape di kawasan-kawasan strategik.
Langkah ini bukan bertujuan menyekat kebebasan peribadi tetapi untuk memastikan orang ramai terutamanya kanak-kanak, remaja dan golongan rentan dilindungi daripada pendedahan serta pengaruh bahan berbahaya.
Lebih penting lagi, ia selaras dengan usaha membina budaya masyarakat yang lebih sihat, bertanggungjawab dan bebas daripada risiko penyakit yang boleh dicegah.
Apabila sesebuah kawasan dijadikan zon larangan, ia menghantar mesej jelas bahawa kesihatan awam adalah keutamaan.
Ia juga menjadi satu bentuk pendidikan tidak langsung bahawa bahan seperti rokok, vape dan alkohol tidak seharusnya menjadi perkara biasa dalam kehidupan seharian, lebih-lebih lagi di kawasan tumpuan orang ramai.
Inilah sebabnya lapan jenis kawasan berikut patut dilindungi dan diisytiharkan sebagai zon bebas sepenuhnya daripada rokok, vape dan alkohol.
1. Institusi pendidikan
Sekolah, kolej dan universiti adalah tempat membina asas kehidupan dan membentuk jati diri generasi muda. Ia bukan sekadar tempat menimba ilmu tetapi juga ruang sosial di mana nilai dan tabiat mula terbentuk.
Kehadiran alkohol, rokok atau vape dalam apa jua bentuk sama ada melalui promosi, penajaan atau penggunaan secara tidak langsung boleh memberi mesej yang salah kepada pelajar.
Apabila pelajar melihat jenama atau aktiviti yang dikaitkan dengan bahan ini wujud dalam persekitaran pembelajaran, ia boleh memberi kesan besar kepada cara mereka berfikir.
Secara tidak langsung perkara ini boleh menormalisasikan tabiat berisiko sejak usia muda.
Lebih membimbangkan, pelajar mudah terpengaruh dengan persekitaran mereka. Sekali tabiat ini bermula, ia sukar dihentikan dan boleh membawa kesan kesihatan jangka panjang.
Menjadikan institusi pendidikan sebagai zon larangan sepenuhnya bukan sekadar langkah perundangan tetapi pelaburan jangka panjang dalam membentuk masyarakat masa depan yang sihat, berdisiplin dan bermaklumat.
2. Majlis dan program kerajaan
Setiap program atau majlis rasmi kerajaan mencerminkan nilai dan identiti negara. Apabila acara seperti ini dikaitkan dengan penajaan atau promosi produk alkohol dan vape, mesej yang disampaikan kepada masyarakat menjadi bercanggah dengan dasar kesihatan awam negara.
Ia seolah-olah memberi lampu hijau kepada masyarakat bahawa bahan ini boleh diterima dalam konteks rasmi walhal ia jelas memberi kesan negatif terhadap kesihatan.
Selain itu, majlis kerajaan turut dihadiri pelbagai lapisan masyarakat termasuk keluarga, pelajar, pegawai awam serta pelancong.
Maka persekitaran sebegini harus menunjukkan teladan terbaik dengan menolak sebarang bentuk pengaruh yang boleh merosakkan imej institusi awam.
Apabila kerajaan sendiri menunjukkan ketegasan dalam hal ini, mesej kesihatan awam akan lebih kuat dan dihormati oleh masyarakat.
3. Fasiliti kesihatan
Hospital, klinik dan pusat rawatan kesihatan juga seharusnya menjadi simbol kepada gaya hidup sihat dan ruang pemulihan.
Bayangkan betapa bercanggahnya apabila kawasan yang bertujuan menyembuhkan penyakit dalam masa yang sama menjadi lokasi di mana rokok, vape atau alkohol dibenarkan.
Ini bukan sahaja mengganggu keselesaan pesakit malah melemahkan mesej kesedaran kesihatan yang cuba disampaikan oleh institusi kesihatan.
Persekitaran yang bersih daripada bahan ini bukan sekadar untuk menjaga keselesaan pesakit dan kakitangan. Ia juga penting untuk memastikan mesej “kesihatan adalah keutamaan” benar-benar difahami dan dirasai.
Apabila fasiliti kesihatan menjadi contoh terbaik, masyarakat akan lebih mudah menerima dan mengamalkan gaya hidup yang sihat.
4. Tempat ibadah
Antara lain, tempat ibadah merupakan ruang yang sangat dihormati. Ia bukan sahaja kerana fungsi spiritualnya tetapi juga kerana ia menjadi pusat penyatuan masyarakat pelbagai lapisan umur.
Kehadiran bahan seperti alkohol, rokok dan vape dalam bentuk apa pun akan mencemari kesucian ruang ini. Ia boleh mencetuskan ketidakselesaan kepada jemaah dan mencalar nilai moral yang ingin dipupuk melalui amalan beragama.
Menjadikan tempat ibadah sebagai zon larangan sepenuhnya membawa mesej jelas bahawa ruang spiritual perlu dijaga kesuciannya daripada sebarang pengaruh negatif.
Selain menjaga kehormatan agama, ia juga membantu mewujudkan persekitaran tenang, bersih dan selamat untuk semua lapisan masyarakat daripada kanak-kanak kecil sehinggalah warga emas.
5. Tempat awam dan rekreasi
Taman, dataran dan ruang rekreasi adalah tempat masyarakat berkumpul untuk berehat, bersosial dan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.
Bayangkan jika tempat sebegini dipenuhi asap rokok atau bau vape yang menusuk. Ia bukan sahaja mencacatkan suasana malah boleh mendatangkan risiko kesihatan terutama kepada kanak-kanak dan warga emas yang lebih sensitif.
Tempat awam seharusnya menjadi ruang selamat dan mesra semua peringkat umur.
Dengan menjadikannya kawasan larangan alkohol, rokok dan vape, kita bukan sahaja melindungi kesihatan masyarakat tetapi turut mewujudkan suasana yang lebih harmoni, bersih dan menyenangkan.
Ia mencerminkan tahap kesedaran dan tanggungjawab sosial yang tinggi dalam kalangan rakyat.
6. Pengangkutan awam
Pengangkutan awam seperti bas, tren, teksi dan terminal adalah ruang tertutup yang dikongsi oleh ramai orang pada satu masa.
Kehadiran asap rokok atau bau vape di ruang sempit ini bukan sahaja mengganggu keselesaan tetapi boleh menjadi pencetus kepada masalah kesihatan seperti sesak nafas atau alergi bagi sesetengah individu.
Lebih membimbangkan, ia boleh memberi contoh buruk kepada penumpang muda yang mudah terpengaruh.
Menetapkan pengangkutan awam sebagai zon bebas alkohol, rokok dan vape bukan sahaja penting untuk menjaga kesihatan penumpang tetapi juga membantu membentuk norma sosial yang lebih sihat.
Ia menunjukkan bahawa kebersihan, keselesaan dan keselamatan semua pengguna adalah keutamaan.
7. Premis kerja dan pejabat
Selain itu, persekitaran kerja yang profesional tidak seharusnya dicemari dengan kehadiran rokok, vape atau alkohol.
Kehadiran bahan ini boleh mengganggu fokus pekerja, menjejaskan produktiviti dan dalam sesetengah kes, boleh membawa risiko keselamatan.
Terutamanya dalam industri yang melibatkan peralatan atau mesin berat. Tambahan pula, tidak semua pekerja selesa berada dalam persekitaran yang terdedah kepada asap rokok atau bau vape.
Dengan memperkenalkan dasar tempat kerja bebas alkohol, rokok dan vape, organisasi bukan sahaja menjaga kesihatan pekerja tetapi juga memupuk budaya kerja yang lebih positif, profesional dan bertanggungjawab.
Ini juga mencerminkan komitmen majikan terhadap kesejahteraan kakitangan mereka.
8. Aktiviti sukan dan rekreasi
Aktiviti sukan seharusnya menjadi lambang gaya hidup aktif dan sihat. Namun apabila acara sebegini dikaitkan dengan penajaan alkohol atau jenama vape, mesej kesihatan yang sepatutnya disampaikan menjadi bercanggah.
Lebih membimbangkan, ia memberi persepsi bahawa bahan tersebut sebahagian daripada budaya sukan sedangkan ia boleh menjejaskan kesihatan jangka panjang.
Dengan melarang sepenuhnya sebarang bentuk promosi atau penggunaan bahan ini dalam aktiviti sukan, kita dapat memastikan bahawa nilai kesihatan, semangat kesukanan dan gaya hidup aktif kekal tulen.
Ini sangat penting untuk memberi contoh positif kepada golongan muda yang merupakan penonton dan penyertaan utama dalam acara sukan.
Ketika ini, penggunaan rokok dan vape telah pun dikawal di bawah Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2024 yang menetapkan larangan penjualan, promosi dan penggunaannya di kawasan tertentu.
Namun, bagi alkohol, dasar sedia ada masih belum cukup ketat untuk mengekang pengaruhnya dalam ruang awam dan acara rasmi.
Jika kita benar-benar mahu membina masyarakat yang sihat dan berdisiplin, sudah tiba masanya dasar yang lebih menyeluruh diperkenalkan untuk melindungi semua zon penting ini.
Langkah ini bukan sekadar tindakan larangan semata-mata tetapi satu usaha membina budaya sosial yang lebih bertanggungjawab.
Apabila zon awam benar-benar bebas daripada pengaruh alkohol, rokok dan vape, kita bukan sahaja melindungi kesihatan masyarakat tetapi turut mencipta suasana kehidupan yang lebih harmoni, selamat dan bermaruah.
The post 8 Kawasan Ini Patut 100% Bebas Rokok, Vape dan Alkohol appeared first on Siakap Keli.



