Bertudung Masuk Tandas Perempuan, Lelaki Intai Wanita Dicekup

23 Oct 2023 • 11:43 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Seorang lelaki dipercayai intai wanita dicekup polis dalam kejadian di tandas sebuah pasar raya di Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang kira-kira 11 pagi semalam.

Lelaki intai wanita dicekup

Menurut laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata, suspek yang berusia 23 tahun itu diserahkan oleh orang awam kepada pihak polis.

Mohd Sohaimi berkata, permohonan reman atas suspek juga akan dibuat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Johor Bahru hari ini, untuk siasatan lanjut.

“Orang ramai diingatkan agar tidak melakukan perbuatan yang melanggar norma kehidupan dan undang-undang negara serta sebarang maklumat kejadian hendaklah disalurkan kepada pihak berkuasa bagi tindakan lanjut,” katanya.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi dua minit 11 saat memaparkan seorang lelaki ‘bertudung’ didakwa menyamar sebagai perempuan bagi memasuki tandas wanita sebelum dicekup oleh orang awam.

Malah, kedengaran suara beberapa wanita dipercayai mangsa rakaman lelaki tersebut yang menyoal siasat supaya suspek memberi kata laluan telefon bimbitnya.

Lebih mengejutkan apabila lelaki terbabit mengakui dia sudah mempunyai isteri selain bingung mengapa dirinya bertindak demikian.

Sumber: Bernama, X @Amrlamnnn