Betamek catat untung bersih RM25.11 juta pada FY25 disokong permintaan kukuh segmen automotif

28/05/2025 - 18:24
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 28 Mei - Untung bersih Betamek Berhad mencatatkan peningkatan kepada RM25.11 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 (FY25) berbanding RM20.03 juta pada tahun sebelumnya disokong permintaan segmen automotif yang kukuh dan sumbangan pertama daripada segmen elektronik bukan automotif susulan pengambilalihan Sanshin (Malaysia) Sdn Bhd (SMSB).
Kumpulan itu berkata, hasil juga meningkat sebanyak 7.3% kepada RM238.3 juta berbanding RM222 juta pada FY24.
Pertumbuhan dalam FY25 turut disokong oleh keuntungan sekali sahaja sebanyak RM6.32 juta hasil penyatuan SMSB.
"Segmen audio dan visual (AV) kenderaan kekal sebagai penyumbang utama dengan pendapatan sebanyak RM170.2 juta, atau 71.4% daripada jumlah jualan.
"Segmen aksesori kenderaan menyumbang sebanyak RM51.3 juta, manakala elektronik bukan automotif dan instrumen industri menyumbang RM16.8 juta, mencerminkan kemajuan dalam usaha kepelbagaian kumpulan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pengarah Eksekutif Betamek, Muhammad Fauzi Abd Ghani berkata, FY25 merupakan tahun yang penuh transformasi bagi Betamek, dengan kemajuan ketara dalam strategi kepelbagaian dan peluasan capaian serantau kami.
Katanya, penyepaduan SMSB dan usaha sama kami dengan Shenzhen Zhonghong Technology Co Ltd menjadi asas kepada pertumbuhan jangka panjang.
“Kami kekal fokus untuk mengekalkan momentum ini melalui inovasi produk dan kecemerlangan operasi, sambil terus komited meningkatkan nilai kepada para pemegang saham sebagai tanda penghargaan atas kepercayaan dan sokongan berterusan mereka," katanya.
Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) Malaysia bagi tahun 2024 mencatatkan rekod sebanyak 816,747 unit, didorong oleh permintaan berterusan terhadap kenderaan mampu milik, terutamanya daripada Perodua, pelanggan utama Betamek.
Sehingga Mac 2025, Perodua mengekalkan penguasaan pasaran sebanyak 45.2% dengan jualan sebanyak 85,091 unit serta anggaran tunggakan pesanan sebanyak 80,000 unit. Dalam masa yang sama, jualan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia melonjak sebanyak 63.8% tahun ke tahun kepada 21,789 unit, disokong oleh dasar kerajaan yang menggalakkan dan peluasan infrastruktur.
Bagi FY26, Betamek menyasarkan untuk terus memperluaskan rangkaian produknya, terutamanya dalam sistem bantuan pemandu lanjutan (ADAS) dan rumusan kokpit pintar, dengan memanfaatkan kerjasama R&D dan keupayaan baharu daripada pengambilalihan SMSB.
Kumpulan juga sedang meneroka peluang dalam sistem infotainmen generasi baharu, termasuk kerjasama dengan Institut Teknologi Petronas dalam pembangunan platform SafeSync360.- DagangNews.com
standard

