Untung bersih MISC merosot kepada RM705.7 juta pada 1QFY25 disebabkan penurunan hasil

LocalBusiness & Finance
28 May 2025 • 2:42 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih MISC merosot kepada RM705.7 juta pada 1QFY25 disebabkan penurunan hasil

image is not available

28/05/2025 - 14:42

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Mei - Untung bersih MISC Bhd menyusut kepada RM705.7 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (1QFY25) berbanding RM759.9 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya disebabkan penurunan hasil pada suku tersebut.

Kumpulan itu berkata, hasil suku tersebut menurun kepada RM2.82 bilion berbanding RM3.64 bilion disebabkan penurunan pendapatan daripada segmen marin dan kejuruteraan berat sebanyak 54%.

Segmen tersebut mencatatkan hasil sebanyak RM453.1 juta, iaitu RM531.4 juta lebih rendah berbanding hasil suku yang sama tahun lalu sebanyak RM984.5 juta, yang berpunca daripada penurunan hasil daripada projek-projek kejuruteraan berat yang sedang berjalan.

“Ini disebabkan oleh beberapa projek yang hampir selesai, menyebabkan aktiviti dan hasil yang lebih rendah, manakala projek-projek baharu masih di peringkat awal,” katanya dalam satu kenyataan.

MISC berkata, penurunan hasil dalam segmen aset dan rumusan gas adalah disebabkan hari perolehan yang lebih rendah selepas berakhirnya kontrak, pelupusan kapal, serta kadar sewa yang lebih rendah dalam suku semasa.

Hasil bagi segmen tersebut adalah sebanyak RM636.2 juta, iaitu RM139.1 juta atau 17.9% lebih rendah berbanding hasil suku yang sama tahun lalu sebanyak RM775.3 juta.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Zahid Osman berkata, 1QFY25 merupakan tempoh ketahanan dengan pihaknya meneruskan strategi membekalkan lebih banyak tenaga dengan pelepas karbon lebih rendah.

Beliau berkata, dengan keadaan pasaran yang sentiasa berubah, portfolio aset MISC yang pelbagai dan model perniagaan yang berdaya tahan telah menyokong pencapaian keuntungan operasi dan aliran tunai yang kukuh.

"Kami memanfaatkan sinergi daripada pelbagai perniagaan dalam kumpulan. Usaha kami terus tertumpu kepada memperkukuhkan perniagaan teras, kecemerlangan operasi, dan meneroka peluang dalam segmen tenaga baharu.

"Melihat ke hadapan, kami optimis terhadap pemulihan beransur-ansur dalam pasaran utama. Kami akan terus melaksanakan inisiatif pertumbuhan dengan pantas dan tangkas, sambil giat menjalin kerjasama dan inovasi untuk menjamin kelestarian portfolio kami di masa hadapan," katanya.- DagangNews.com

standard