hamden23/06/2026 - 15:16 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Jun - Betamek Berhad melancarkan Betamek Sanshin (M) Sdn. Bhd. (Sanshin), sebuah anak syarikat baharu yang dijangka memainkan peranan penting dalam memperkukuh keupayaan operasi kumpulan serta memperluaskan kehadirannya di pasaran serantau dan antarabangsa.
Pelancaran awal syarikat itu disempurnakan oleh Pengarah Urusan Betamek, Mirzan Mahathir bersama Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Shenzhen Zhonghong Technology Co. Ltd., Su Jun.
Betamek berkata, penubuhan Sanshin mencerminkan komitmen syarikat untuk memperkukuh hubungan dengan pelanggan dan rakan strategik, selain membuka peluang perniagaan baharu ketika Malaysia terus menjadi destinasi pilihan syarikat antarabangsa yang ingin mengembangkan operasi di Asia Tenggara.
Menurut syarikat itu, antara kelebihan utama Sanshin ialah status Gudang Pengilangan Berlesen (LMW) dan Pusat Perolehan Antarabangsa (IPC) yang dimilikinya.
Status tersebut membolehkan Betamek menawarkan penyelesaian yang lebih komprehensif kepada pelanggan yang memerlukan perkhidmatan pembuatan rentas sempadan, perolehan bahan dan pengedaran produk di peringkat serantau.
“Keupayaan ini membolehkan proses import dan eksport dilaksanakan dengan lebih cekap, meningkatkan fleksibiliti rantaian bekalan serta menyokong syarikat yang ingin mewujudkan atau memperluaskan operasi mereka di Malaysia dan rantau ASEAN,” kata kenyataan itu.
Strategi Jangka Panjang Tingkat Daya Saing
Pengarah Eksekutif Betamek, Muhammad Fauzi Abd Ghani berkata, pelancaran Sanshin merupakan langkah penting dalam usaha syarikat memperkukuh penglibatan dengan pelanggan, rakan perniagaan dan pelawat antarabangsa.
“Dengan keupayaan LMW dan IPC yang tersedia, kami berada pada kedudukan yang baik untuk menyokong syarikat yang memerlukan penyelesaian pembuatan rentas sempadan, perolehan dan pengedaran serantau yang cekap.
“Ketika semakin banyak perniagaan melihat Malaysia sebagai pintu masuk ke ASEAN, Sanshin menyediakan platform kukuh untuk memudah cara perbincangan yang bermakna, memacu kerjasama operasi serta membina perkongsian jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif itu juga selaras dengan strategi jangka panjang Betamek untuk meningkatkan daya saing dan mengembangkan rangkaian perniagaan merentasi sempadan.
Ke hadapan, kumpulan itu akan terus memperkukuh keupayaan operasi serta inisiatif penglibatan pelanggan, di samping meneroka peluang baharu bagi menyokong pembangunan perniagaan serantau dan kerjasama rentas sempadan yang lebih luas. - DagangNews.com




