
PETALING JAYA: Pelakon, Betty Banafe, meluahkan rasa syukur apabila Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan rayuan membabitkan satu daripada lima kes komital yang difailkan bekas suaminya, Bruce Dargus.
Betty atau Betty Ibtisam Abu Bakar Banafe, 44, menyifatkan keputusan itu sebagai satu kelegaan buat dirinya walaupun masih berdepan lapan lagi kes yang sedang berjalan di mahkamah.
“Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan bagi kes komital pertama. Bagi kes kedua pula, pihak sana (bekas suami) menarik balik rayuan kerana mereka sedar peluang untuk menang adalah tipis.
“Susulan itu, mahkamah memerintahkan pihak plaintif membayar kos sebanyak RM21,500 kepada saya. Bagaimanapun, masih berbaki tiga lagi kes komital yang sengaja dipanjangkan melalui permohonan menukar hakim serta bilik mahkamah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.
Dalam pada itu, Betty bagaimanapun mempersoalkan mekanisme pelaksanaan tuntutan keadilan terhadap bekas pasangan yang bukan warganegara dan tidak menetap di Malaysia.
“Di manakah keadilan buat saya? Bekas suami tidak menetap di Malaysia, tiada caruman KWSP dan tiada harta di negara ini. Jadi, jika saya menang sekalipun, bagaimana saya mahu mendapatkan hak saya dan anak-anak?
“Saya merayu agar Mahkamah Syariah diperkasakan supaya individu dari luar negara tidak sewenang-wenangnya memperkotak-katikkan sistem kehakiman kita sehingga menzalimi rakyat tempatan.
“Sedangkan plaintif tidak pernah atau jarang hadir, sama ada secara fizikal mahupun dalam talian. Apakah jaminan kepada pasangan yang berada di Malaysia untuk memperoleh keadilan, terutama dari segi kewangan, kesihatan mental dan masa yang terpaksa dikorbankan selama bertahun-tahun bagi memperjuangkan hak sebagai ibu tunggal dan bekas isteri?” katanya.
Menurut Betty, dia telah melalui lapan tahun turun naik mahkamah bagi menyelesaikan pelbagai proses perundangan yang melibatkan bekas suaminya.
Sementara itu, pelakon Suamki Lelaki Pendosa itu tidak dapat menahan sebak ketika menggesa golongan lelaki agar tidak membiarkan ego mengatasi pertimbangan sehingga bertindak zalim terhadap pasangan tanpa memikirkan kesan yang ditanggung anak-anak.
“Saya merayu kepada mana-mana pasangan yang ingin membawa kes ke mahkamah supaya bertindak secara rasional dan tidak mengutamakan ego masing-masing.
“Ketepikan rasa dendam. Carilah jalan untuk memperbaiki kelemahan diri yang mungkin menjadi punca kegagalan rumah tangga, tanpa perlu menghukum atau menzalimi pasangan,” katanya.
Sebelum ini, Betty berkongsi dia akan ke mahkamah hampir setiap bulan bagi melayan kes yang difailkan bekas suami membabitkan 17 kes fail saman yang dibuka termasuk 5 (kes) komital.
Betty dan Dargus mendirikan rumah tangga pada 8 Disember 2012 dan berpisah pada 2019. Sepanjang tujuh tahun bersama, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Julia Claire Dargus, 13, dan Bruce Dean Dargus, 10. -UTUSAN
The post Betty Banafe lega rayuan kes komital bekas suami ditolak appeared first on Utusan Malaysia.



