
Meta berhadapan satu lagi kes saman kali ini melibatkan bekas pekerja yang dipecat secara pukal tahun ini. Seramai 26 bekas pekerja memfailkan saman ke atas Meta di California kerana mendakwa syarikat menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk memilih pekerja yang perlu diberhentikan kerja. Sistem AI ini kemudiannya menyasarkan pekerja-pekerja berpenyakit atau yang mengambil cuti sakit.
Dalam saman yang difailkan, Meta turut didakwa menggunakan skor produktiviti dan penggunaan token AI sebagai faktor penilaian untuk menghasilkan senarai pekerja yang perlu dihentikan. Plaintif memohon perintah mahkamah untuk menghentikan proses pemberhentian pekerja yang dijadualkan bermula 22 Julai sementara tuntutan mereka dibawa ke proses timbang tara peribadi.

Saman difailkan di California kerana terdapat undang-undang yang melarang diskriminasi terhadap pekerja berpenyakit, mengambil cuti sakit atau hamil. Meta turut didakwa gagal menguji sistem AI untuk bias, melanggar undang‑undang baharu di California dan New York City .
Turut didedahkan Meta menggunakan tiga sistem untuk menilai pekerja. Pertama ialah Metamate, LLM dalaman yang digunakan sebagai pembantu digital. Kedua ialah Second brain sebuah sistem yang menjejak komunikasi dan dokumen pekerja. Akhir sekali ialah skor produktiviti yang dihasilkan daripada imbasan pergerakan papan kekunci, kandungan skrin, e‑mel dan sejarah aktiviti pelayar web pekerja .
Meta mengeluarkan kenyataan rasmi menegaskan dakwaan tersebut tidak berasas dan menyatakan bahawa keputusan tenaga kerja dibuat oleh manusia, bukan AI.
Meta memulakan 2026 dengan langkah kiri kerana usaha pembangunan AI yang menelan belanja berbilion Dolar masih belum membuahkan hasil serta dilihat ketinggalan berbanding OpenAI, Anthropic dan Google.
Saman di Texas yang mencecah $300 juta kini mungkin meningkat ke $1.4 trilion kerana empat negeri lain memfailkan saman saman kerana Meta didakwa berbahaya kepada remaja. EC turut mendapati Facebook dan Instagram mempunyai elemen menyebabkan ketagihan yang melanggar Akta Perkhidmatan Digital (DSA) Eropah.
Sumber – Reuters






