
KUALA LUMPUR: Bakal mengadakan konsert siri kedua pada November ini, kumpulan, Exists mengakui tidak menyangka kejayaan konsert Memento Mori pada 1 Ogos lalu berjaya menyentuh hati lebih ramai lagi pengikut generasi Z (Gen Z).
Mengakui tidak mudah untuk meraih perhatian peminat dari pelbagai generasi, komposer dan penyanyi, Ajai menyifatkan lagu seperti Konklusi menjadi pendorong mereka mengenali lebih banyak karya kumpulan berkenaan.
Karya kumpulan Exists terus merentasi generasi apabila muzik mereka bukan sahaja kekal mendapat tempat dalam kalangan peminat lama, malah semakin diterokai dan diminati generasi Z (Gen Z).
“Selain deretan lagu popular Exists, lagu seperti Konklusi yang didengar Gen Z itu sebenarnya mempunyai corak dan susunan muzik yang sudah ada dalam setiap album Exists. Dari situlah Gen Z mula mengenali muzik Exists.
“Saya sendiri melihat komen di Threads apabila mereka bertanya mengenai lagu Konklusi. Mereka juga tidak sangka lagu Konklusi itu sebenarnya lagu Exists dan terus teringat persembahan kami di Rock The World pada 2021.
“Selepas itu, mereka terus mendengar lagu Exists yang lain. Sebenarnya, pendengar Gen Z ini lebih cenderung kepada konsep muzik Exists yang setiap tahunnya berbeza.
“Memang betullah kami sudah bergelar pakcik-pakcik, tetapi jiwa kami masih sama rata. Kami menganggap usia kami masih dipertengahan era,” katanya pada sidang media Konsert Memento Mori 2.0 di sebuah hotel, pada Jumaat.
Sementara itu, pemain gitar Exists, Musa, menyifatkan lambakan peminat baharu secara tidak langsung membuatkan perjalanan muzik kumpulan itu kekal relevan biarpun sudah bertahan lebih tiga dekad.
“Walaupun mereka peminat baharu, mereka juga akan membesar dengan lagu-lagu Exists. Mungkin antara mereka akan menjadi bintang yang mengambil inspirasi daripada muzik Exists.
“Suatu ketika dahulu kami pun menjadikan kumpulan terdahulu sebagai sumber inspirasi. Bagi kami, generasi lama akan sentiasa memberi inspirasi kepada generasi baharu dan generasi baharu pula akan menjadi lebih besar dan membanggakan negara.
“Jika kita lihat, Malaysia belum ada kumpulan yang mampu membawa nama negara ke peringkat antarabangsa. Saya yakin satu hari nanti Malaysia mampu tandingi negara jiran. Apa yang kami eksperimenkan hari ini akan menjadi hasil buat mereka perjuangkan satu hari,” ujarnya.
Selepas kejayaan konsert 1 Ogos lalu, Exists yang kini menampilkan tujuh anggota termasuk dua vokalis, Ezad dan Mamat, bakal mengadakan Konsert Memento Mori 2.0 di Unifi Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 8 November.
The post Betul kami ‘pakcik-pakcik’, tapi jiwa kami sama – Exists appeared first on Utusan Malaysia.


