
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Buat seorang Muslim, penting untuk mengetahui waktu masuk solat agar ibadah itu dapat dijalankan tepat pada waktu dan tidak terawal beberapa minit.
Apatah lagi ketika bulan Ramadan, jika terbuka puasa sebelum masuk waktu Maghrib dan kemudiannya mengetahui waktu Maghrib sebenar, terpaksalah puasa itu digantikan semula.
Baru-baru ini, seorang pengguna media sosial berkata mereka yang tinggal di tingkat tinggi perlu menunaikan solat 1 ke 2 minit lebih lewat kerana masuk waktu solat sedikit lewat.
Kenyataan olehnya ini menimbulkan tanda tanya dalam kalangan orang ramai sama ada perkara itu benar ataupun tidak.
View on Threads
Tingkat Bangunan Yang Lebih 400 Meter Di KL Masuk Waktu Maghrib Lewat 3 Minit
Perkara ini sememangnya benar namun hanya terpakai bagi bangunan yang betul-betul tinggi dan bergantung pada lokasi serta membabitkan waktu solat Maghrib dan syuruk sahaja.
Seperti pada tahun lalu, pihak KLCC mengeluarkan notis berdasarkan surat Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, yang memaklumkan bahawa Menara Berkembar Petronas terlibat dengan penyemakan semula waktu solat.
Menurutnya, waktu solat bagi bangunan di Kuala Lumpur yang melebihi tinggi 400 meter mempunyai perbezaan dalam waktu solat tertentu, iaitu:
- Maghrib: 3 minit selepas azan.
- Syuruk: 3 minit sebelum azan.
Notis sama memaklumkan bahawa waktu solat lain kekal sama, dan perubahan itu hanya melibatkan tingkat 76 ke atas serta telah berkuat kuasa bermula 1 Ramadan 1446H.
Baca Artikel Berkaitan: Ketinggian & Aras Pun Main Peranan, Tular Notis KLCC Kini Mempunyai Dua Waktu Berbuka Berbeza
Mufti Pulau Pinang Jelaskan Perbezaan Waktu Solat Maghrib Di Bangunan & Tanah Tinggi
Isu ini turut diperjelaskan oleh Mufti Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman, menerusi hantaran di Facebook Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang pada Disember 2025.
Beliau berkata, perkara ini telah dibincangkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 2022 yang membuat keputusan berdasarkan kepada kajian saintifik serta hukum solat di tanah tinggi dan bangunan tinggi.
Jelasnya, penentuan waktu solat adalah ditentukan berdasarkan kepada kedudukan semasa individu termasuklah ketinggian lokasinya.
Bagi mereka yang berada di tempat tinggi, penambahan bagi waktu solat Maghrib (lebih lewat) dan pengurangan bagi waktu Syuruk (lebih awal) dijangkakan seperti berikut:
- 1 minit jika berada di ketinggian antara 100 ke 200 meter.
- 2 minit jika berada di kedudukan antara 200 ke 400 meter.
- 3 minit jika berada di ketinggian antara 500 ke 800 meter.
- 4 minit jika berada di ketinggian antara 800 ke 1,000 meter.
Memberi contoh, Dr Mohd Sukki berkata, jika seseorang berada di bangunan Komtar pada ketinggian lebih 200 meter, maka dia hanya boleh berbuka puasa 2 minit selepas azan Maghrib berkumandang.
“Bila mana kita berada di tempat yang tinggi, kita buat penyesuaian sikit. Kita tambah sikit minitnya (lewatkan untuk waktu Maghrib) daripada waktu yang biasa,” ujarnya.
Kajian Waktu Solat Di Kawasan Tinggi Sering Dijalankan
Berdasarkan laporan Berita Harian, kajian membabitkan waktu syuruk dan Maghrib bagi bangunan tinggi Menara Kuala Lumpur dan Menara Berkembar Petronas, telah dilakukan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Ukur dan Pemetaan serta Universiti Malaya seawal 2013.
“Secara amnya ketinggian bangunan di Malaysia tidak setinggi Burj Khalifa di Dubai, manakala bagi tanah tinggi, Jabatan Mufti negeri sudah menyediakan jadual waktu solat dan waktu imsak serta berbuka puasa secara zon berasingan iaitu zon tanah tinggi atau dinyatakan keperluan menambah kadar minit tertentu dalam jadual waktu solat yang dikeluarkan,” kata bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Malah pada tahun 2022, kajian mengenai penetapan waktu Maghrib di kawasan tanah tinggi di Malaysia turut dilakukan oleh empat pejabat mufti negeri.
“Berdasarkan hitungan falak, waktu maghrib di lokasi tanah tinggi akan lebih lewat berbanding tanah rata seperti puncak Bukit Bendera, Pulau Pinang dan Gunung Jerai, Kedah.
“Umat Islam yang berada di tempat berkenaan akan mendirikan solat fardu Maghrib lebih lambat daripada mereka yang tinggal di bahagian bawah bukit atau gunung tersebut,” kata Jabatan Mufti Selangor dalam satu kenyataan.
Burj Khalifa Ada 3 Zon Waktu Solat Maghrib
Sekadar info, pencakar langit tertinggi dunia, Burj Khalifa yang terletak di Dubai, mempunyai tiga zon waktu solat yang berbeza disebabkan oleh ketinggiannya yang mencecah 828 meter dengan sebanyak 163 tingkat. Tiga zon tersebut ialah:
- Zon 1: Tingkat 1–80
- Zon 2: Tingkat 81–150
- Zon 3: Tingkat lebih 150
Berdasarkan laman web Waktu Solat, penetapan tiga zon yang berbeza ini berlaku kerana penduduk di tingkat atas akan melihat matahari terbit lebih awal dan terbenam lebih lewat berbanding penduduk di tingkat bawah.
“Zon bawah mengikut waktu tempatan Dubai. Zon pertengahan akan mengalami perbezaan sekitar dua minit (Maghrib lebih lewat). Zon tertinggi pula mengalami perbezaan sehingga tiga minit,” jelasnya.
Baca Artikel Berkaitan: Apa Perlu Buat Jika Baru Angkat Takbir Dan Masuk Waktu Solat Lain? Ini Penjelasannya [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Boleh Ke Solat Bila Dah Masuk Waktu Tanpa Dengar Laungan Azan? Ini Penjelasannya [Video]
